Monday, June 27

Keluarga Qutb Dalam Kenangan

Tulisan ini didedikasikan buat keluarga saya tercinta, mak ayah, adik beradik yang lain, keluarga terdekat serta khusus buat anak-anak kecil yang comel2 di bawah ini apabila mereka sudah besar suatu hari nanti....

Dari kiri: Yahya, Yumna dan Ezzat bersama Pokda
~tiada dalam gambar: Mujahid dan Hasan ;)~


Meskipun dunia hari ini yang dikuasai fahaman kapitalis dan generasi mudanya dimanjakan dengan budaya hedonisme dan material. Allah s.w.t telah merahmati keluarga contoh ini yang telah menunjukkan kepada kita seolah-olah Kisah Para Sahabat r.a kembali berulang . Mereka telah menunjukkan bahawa faham, pengorbanan, thabat dan jihad yang tidak mustahil berlaku di zaman moden ini....

As-Syahid Syed Qutb (1906- 1967)
Muhammad Qutb (1919-kini)
Aminah Qutb (1927-2007)
Hamidah Qutb (1937-kini)

Mereka adalah lambang keluarga contoh yang mengalir daripada sumber dan pegangan yang teguh kepada Islam. Keluarga yang berasal dari Asyut, Selatan Mesir ini dibesarkan dalam suasana penuh barakah yang dipenuhi iman dan dibawah pemeliharaan Allah s.w.t. Ayahanda mereka berempat bernama Haji Qutb Ibrahim, seorang lelaki yang kuat berpegang dengan agama dan mempunyai kedudukan yang dihormati masyarakat. Perkara ini jelas terpancar pada anak-anaknya: Syed, Muhammad, Aminah dan Hamidah. Ibu mereka terkenal sbg seorang yang mementingkan Islam dan akhlak yang baik dan mulia. Dengan penjagaan penuh rapi kedua tangan ibu dan ayah inilah rumah mereka dipenuhi dengan anak-anak yang bangkit menjadi pendokong Islam di hari muka.

(as-Syahid Syed Qutb)
Karya agung beliau: Maa'alim fi Toriq (Petunjuk Sepanjang Jalan) telah membawanya ke tali gantung. Pelbagai pihak cuba memujuk supaya Presiden Gamal Abd Nasir meringankan hukuman termasuklah Presiden Iraq ketika itu, Abdul Salam Arif

Syed Qutb menceritakan sendiri pengalamannya ketika kecil:
"Saya mula membaca al-Quran ketika saya masih kecil lagi. Walaupun fikiran saya ketika itu masih tidak cukup untuk memahami maksud dan kehendak ayat-ayat ini, cuma saya dapat rasakan sesuatu. Setiap kali saya membaca al-Quran ianya tergambar dalam khayalan saya. Gambaran ini memang aneh, tetapi saya dapat rasakan kepuasan dan keseronokannya.”
Bermacam-macam lagi kisah menarik tentang adik-beradik ini. Tidak larat rasanya saya menulis satu-persatu tentang kisah suka dan duka mereka. Cukuplah saya menutup kisah keluarga ini dengan pendirian Syed Qutb ketika diminta menandatangani surat pengampunan daripada Rejim Gamal Abd Naser :
“Jari telunjuk ini yang menjadi saksi setiap kali di dalam sembahyang bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah tidak mungkin sama sekali akan menulis coretan yang hina dan mengampu-ampu. Jikalau sememangnya saya layak dipenjara, saya reda menerimanya. Tetapi jikalau saya dipenjara dengan zalim, saya sama sekali tidak akan tunduk memohon belas kasihan daripada orang yang zalim.”
(Muhammad Qutb)
Anak kedua daripada adik-beradik Qutb masih hidup pada hari ini. Sekarang menetap di Mekah, Arab Saudi. Buku-buku tulisan beliau seperti: Salah faham terhadap Islam, Bingkisan Hadis-hadis pilihan daripada Rasulullah s.aw dan Adakah kita Orang-orang Islam? telah digunapakai sebagai silibus yang dikaji seluruh dunia di kebanyakan program pendidikan mereka
.

Beberapa pengajaran yang saya dapt simpulkan daripada bacaan saya terhadap sejarah keluarga ini:
1. Keluarga adalah aset terpenting dalam pembentukkan peribadi anak-anak.
2. Islam adalah perisai kepada anak-anak yang terdedah dengan Jahiliyah Moden hari ini.
3. Ibu bapa mestilah memberi peluang kepada anak-anak memilih bidang kepakaran mengikutkecenderungan mereka.
4. Bahasa arab adalah medium terbaik memahami Islam dan merasai kehebatannya.
5. Contoh teladan abang sulung akan memberi kesan yang besar kepada adik beradik yang lain.
6. Dakwah adalah NUMBER ONE PRIORITY bagi sesebuah keluarga Islam. Segala pertimbangan yang dibuat mereka adalah berdasarkan neraca ini.
7. Sastera adalah bidang yang perlu dikuasai oleh pendakwah untuk menyampaikan mesej Islam di dalam bentuk yang menyentuh jiwa, menggerakkan perasaan dan mengesani pendengar.


(Hamidah Qutb tersenyum melihat abangnya Syed Qutb)
Syed Qutb benar-benar menjadi inspirasi kepada adik-beradiknya yang lain dalam thabat, pengorbanan dan jihad menegakkan kebenaran.

Kehidupan kita yang penuh dengan pancaroba sehinggalah kita masuk ke liang lahad. Kita tidak dijamin akan aman daripadanya. Moga Allah menetapkan hati kita semua dan bersungguh-sungguh supaya Islam ini kekal di hati kita semua dan anak cucu kita.

**catatan sempena kepulangan Angah , Kak Battah dan Ezzat yang comel ke Malaysia setelah selesai pengajian dan perkhidmatan di Mesir. Minta maaf, Allah masih tidak mengizinkan hingga ke saat ini saya hadir dalam event2 penting yang melibatkan kamu sekeluarga, next exam sama hari dengan flight.

Friday, June 24

Fathu Andalus: Cities of Light (Bhgn Satu)


Saya memang gemarkan penulisan sejarah. Tulisan saya sebelum ini menceritakan tentang gagalnya cita-cita untuk menjadikan eropah sebagai benua Islam, rujuk Balat Syuhada: The Battle of Tours. Kali ini kisah gembira yang cuba dikongsikan.

Sepanyol hari ini terkenal dengan kelab-kelab gergasi bola sepak terkemuka dunia seperti FC Barcelona, Real Madrid CF dan lain2 yang disokong oleh peminat bola sepak seperti saya. Namun dalam keseronokan kita tersebut, ada peristiwa hitam yang berlaku. Penting untuk kita memahami sejarah yang cuba dipadamkan oleh usaha-usaha sejarawan Barat yang menggambarkan tempoh Islam di Sepanyol adalah satu penjajahan terhadap orang Eropah. Oleh sebab itu, saya cenderung menggunakan Andalus sebagai bandar cahaya. Cahaya yang menerangi eropah pada zaman Dark Ages mereka.

Peristiwa hitam umat Islam di Sepanyol bukan untuk ditangisi tetapi bekalan memacu kebangkitan.

Latar Peristiwa

Individu Penting
1. Khalifah al-Walid bin Abdul Malik
2. Musa bin Nusair (Gabenor Qairawan)
3.Tariq bin Ziyad (Gabenor Tangiers)
4. King Roderick (Visigothic King of Hispania)
4. Julian (Count of Ceuta)

Timeline Pembukaan Andalus
11 Hijrah Kewafatan Rasulullah s.a.w
85 Hijrah Musa bin Nusair dilantik sebagai Gabenor Qairawan
89 Hijrah Menawan Tangiers, Morocco
91 Hijrah Misi Tinjauan oleh pasukan Torif bin Malik
92 Hijrah Kemenangan Pertama di Sepanyol

Kefahaman Generasi Awal
Pembukaan Islam ke negara2 eropah dan selainnya dibina atas kefahaman: Menghilangkan semua halangan yang menghalang sampainya cahaya Allah kepada semua manusia sehinggalah kalimah Allah menjadi tertinggi di dunia ini dan tunduknya manusia seluruhnya di bawah sistem Allah.

Khalifah al-Walid bin Abdul Malik (86-96Hijrah)
Salah seorang khalifah yang bersungguh-sungguh untuk Islam menguasai utara Afrika. Zaman pemerintahannya yang stabil mendorongnya untuk fokus supaya Dunia Islam memainkan peranan lebih luas dalam keputusan2 penting di dunia ketika itu. Kemakmuran negara di zamannya itu juga membolehkan umat Islam menumpukan usaha-usaha membantu menyediakan kekuatan peperangan yang lebih kuat.

Damsyik berjaya memainkan peranannya sebagai pusat pemerintahan dunia Islam ketika itu. Banyak peristiwa dan keputusan penting dunia dicaturkan oleh Khalifah-khalifah Umawiyyah pada zaman awal itu. Ini semua hasil kebijaksaan Muawiyah b. Abu Sufian r.a yang memiliki kepimpinan yang dinamik dan bercita-cita tinggi. Hari ini peranan itu diambil alih oleh Amerika Syarikat di White House milik mereka.

Perlantikan Musa bin Nusair
Berlaku pada 85 Hijrah. Menggantikan Hasan bin Nukman sbg Gabenor Qairawan. Mengkaji kegagalan tentera Islam sebelum ini di utara Afrika:
1.Kelemahan tentera laut Islam
2.Gabenor Qairawan tidak membangunkan potensi sebenar Bandar yang strategik
3.Kekurangan bilangan tentera untuk menjaga premis2 negara
4.Membuang masa berperang dengan penduduk pribumi, orang barbar
5.Tidak menguasai sepenuhnya utara Afrika spt Tangiers dan lain2

Langkah pemulihan:
1.Menjalin hubungan baik dengan orang barbar dan menghargai peranan mereka
2.Membangunkan kekuatan angkatan laut Islam dengan 100 kapal perang

Umat Islam tidak menunggu masa yang lama membawa misi menyebarkan cahaya Allah ke seluruh dunia. Mereka berjaya menguasai pimpinan dunia hanya 80 tahun selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.

Jatuhnya seluruh utara Afrika ke tangan Islam
Selepas persiapan hampir 4 tahun, Musa bin Nusair memimpin sendiri serangan ke bandar terakhir yang strategik di utara Afrika, Tangiers (30 km dari Sepanyol). Dengan kemenangan ini, cita-cita menundukkan utara Afrika di bawah sistem Islam tercapai.

bersambung.....

Wednesday, June 22

Rehat Kita di sana...

Selepas kematian Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik, Umar Abdul Aziz telah diamanahkan memegang urusan kaum Muslimin dengan memimpin mereka sebagai Khalifah. Pada hari pertama itulah menjadi hari paling sibuk bagi dirinya…. Menyelesaikan majlis pengebumian khalifah dan menghadiri masjid untuk menyatakan amanah yang dipikulkan di bahunya…

Selesai berucap, Umar turun dari mimbar. Beliau ingin terus pulang ke rumah untuk berehat. Beliau berhasrat untuk mengembalikan tenaganya seketika setelah segala penat-lelah yang dilaluinya semenjak kematian Khalifah Sulaiman. Walau bagaimanapun, belum sempat Umar melabuhkan punggungnya, tiba-tiba anaknya, Abdul Malik yang ketika itu baru berusia 17 tahun datang seraya bertanya: “Apakah yang hendak dilakukan Amirul Mukminin?!”

“Anakku, ayah hendak melelapkan mata seketika. Sudah tidak bertenaga rasanya tubuh ayah ni…” jawab Umar perlahan. “Apakah Amirul Mukminin akan melelapkan mata sebelum mengembalikan segala hak yang telah dirampas kepada pemilik asalnya?” tanya Abdul Malik.

“Anakku, ayah tidak tidur sepanjang malam semalam kerana menguruskan jenazah pak cik mu, Sulamian. Apabila masuk zuhur nanti, ayah akan bersolat bersama rakyat. Ayah akan mengembalikan segala hak kepada pemiliknya…dengan izin Allah,” jawab ayahnya.

“Wahai Amirul Mukminin, siapakah yang dapat menjamin ayah hidup hingga ke waktu Zuhur nanti?!” balas anaknya, Abdul Malik.

Kata-kata Abdul Malik ini umpama petir yang menyambar hatinya. Ia mula membakar semangat Umar dan hilanglah segala keinginannya untuk tidur. Lahir pula kekuatan dan kemahuan tekad yang jitu dalam kelesuan tubuhnya.

“Mari sini wahai anakku..”panggil Umar lembut. Abdul Malik pun menghampiri ayahnya. Umar pun memeluk dan mencium dahi anaknya sambil berkata: Segala Puji bagi Allah yang telah melahirkan daripada tulang sulbi ayah seorang anak yang mampu membantu agama ayahnya..”

Umar pun bingkas bangun dan mengarahkan supaya orang ramai diberitahu bahawa sesiapa sahaja yang dizalimi hendaklah mengadukannya kepada khalifah.

rujukan: Suwar min Hayat Tabien, Dr. Abd Rahman Basha