Sunday, September 25

Sayang, Ikatan kita Ikatan Wafa'

Alhamdulillah. Puji dan syukur pada Allah s.w.t. Tahun 2011 ini sahaja, teman2 saya lebih daripada 10 orang telah mendirikan rumahtangga.
Mungkin sesetengah orang menganggap tulisan saya ini keluar daripada hakikat sebuah perkahwinan. Tulisan orang yang tidak berkahwin tidak boleh digunapakai kerana mereka hanya pandai berteori. Apa salahnya berkasih sayang dan menikmati nikmat yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya?
Tidak mengapa, saya terima teguran anda. Terus terang tulisan ini saya tujukan buat orang yang memilih untuk mengikat perkahwinannya atas asas Agama: at-tamkin li Dinillah (menegakkan kuasa Islam di dunia) supaya mereka faham halatuju jalan yang mereka ambil. Sabda Nabi s.a.w:
"Dinikahi seseorang wanita kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama, nescaya engkau akan beroleh keuntungan". (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
Tulisan saya kali ni ditujukan khusus buat anak-anak muda pendakwah bujang....
Tulisan saya kali ini sekadar renungan buat pendakwah muda yang sudah bergelar pengantin samada baru atau lama..... Moga kita tetap thabat atas Jalan yang dipilih ini...

Dari kiri: Dr.Fadil, Dr.Zaid, Ust.Syamil, Dr.Mukmin, Penulis, Ust.Abdullah Husaini, Ust.Nik Rafie dan Ust.Muhammad Ali bersama anaknya, Aisyah. Alhamdulillah, mereka di kiri dan kanan saya telah melangkah ke gerbang perkahwinan dalam usia yang muda.

Imam Hasan al-Banna ketika menggariskan matlamat terbesar umat Islam hari ini adalah menegakkan agama Allah dengan mendirikan kerajaan Islam antarabangsa yang dipimpin Khilafah, beliau juga telah meletakkan cara2 dan peringkat2 untuk mencapai cita2 tersebut yang bermula daripada individu Muslim, keluarga Muslim, masyarakat Muslim sehinggalah kepada Islam menentukan PERJALANAN DUNIA (New World Order).

Beliau telah meletakkan petunjuk yang jelas akan jalan mencapai matlamat tersebut. Pemuda Islam yang jelas halatuju hidupnya, baik budi pekertinya, bersungguh-sungguh dalam kehidupannya diikat dengan Muslimah yang samatara dengan dirinya yang dididik hasil pentarbiyahan yang berkesan. Lalu daripada rumah2 mereka, terpancar sinar Islam yang mengesani masyarakat hasil daripada teladan praktikal kepada penghayatan Islam sebenar di dalam kehidupan mereka.
"Sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik". (Surah an-Nur: 26)

20 April 1986- As-Syahid Abdullah Azzam ketika jihad Afghanistan melawan pencerobohan Soviet Union masih berlangsung telah menulis sebuah wasiat untuk anak-anaknya:
"Wahai Anak-Anakku!
Sesungguhnya kalian tidak mendapatkan perhatianku kecuali sebentar. Kalian tidak memperoleh pembinaan dariku kecuali sedikit. Ya, aku tidak memberikan perhatian kepada kalian. Tetapi apa yang dapat aku lakukan sementara malapetaka terhadap kaum Muslimin membuat orang hamil melahirkan kandungannya dan musibah yang menimpa Umat Islam membuat rambut bayi-bayi beruban. Demi Allah, aku tidak rela hidup tenang sementara api malapetaka membakar kaum Muslimin. Aku tidak rela hidup di tengah-tengah kalian menikmati hidangan lazat. Demi Allah, sejak dulu aku membenci kemewahan, baik dalam pakaian, makanan ataupun tempat tinggal. Aku berusaha mengangkat kalian ke tingkat orang-orang zuhud dan aku jauhkan kalian dari lumpur kemewahan".
Sifir rumahtangga bagi pendakwah adalah semudah 1+1= 2. Sejauhmana kita mampu melahirkan seramai mungkin individu Islam yang berkualiti, sejauh itulah kita dapat melahirkan keluarga2 Islam yang berkualiti. Tugasan melahirkan individu-individu ini akan kekal berterusan sehinggalah Allah s.w.t mengangkat semula kehinaan yang ditimpakan kepada umat Islam di atas kelalaian mereka selama ini.

Kefahaman yang lahir daripada analisis yang mendalam terhadap sirah Nabi Muhammad s.a.w telah membuktikan kebenaran teori ini.Bayangkan orang sehebat Ali r.a dikahwinkan dengan sebaik-baik wanita, Fatimah r.a.h. Begitu juga pelindung Rasulullah s.a.w, Zubair al-Awwam dikahwinkan dengan Asma’ binti Abu Bakar, wanita mengandung yang telah menolong hijrah baginda s.a.w. Mereka inilah yang telah melahirkan anak-anak yang mewarisi perjuangan ibu ayah mereka. Hasan dan Husain bin Ali, Abdullah bin Zubair dan lain-lain lagi. Bahkan mereka tidak berpada dengan itu, lalu mewariskan Islam dan dakwah yang mulia ini kepada generasi tabiien seperti Ato’ Bin Abi Rabah, Said bin Jubair dan ramai lagi sehingga nikmat Islam itu sampai kepada kita di Malaysia ini.
Dengan itu, individu dan keluarga di dalam masyarakat yang diimpikan adalah tulang belakang yang berdiri di atasnya Kerajaan Islam yang kukuh dan kuat. Merekalah obor cahaya yang memandu masyarakat ketika dalam kegelapan.

Ust Sayyid Qutb telah menukilkan di dalam bukunya, Maalim fit Toriq:
"Dakwah Islam telah pun melahirkan satu generasi manusia, generasi sahabat Rasulullah SAW, iaitu suatu generasi yang paling istimewa di dalam sejarah Islam dan di dalam sejarah kemanusiaan seluruhnya. Generasi itu tidak pernah muncul dan timbul lagi sesudah itu, walaupun terdapat juga beberapa peribadi dan tokoh tertentu di sepanjang sejarah, tetapi tidaklah lahir lagi segolongan besar manusia, di satu tempat yang tertentu pula, seperti yang telah muncul dan timbul di dalam peringkat pertama dari penghidupan dakwah ini"
Beliau menambah lagi:
"Ini adalah satu fakta dan kenyataan yang terang dan memang telah berlaku, mempunyai maksud-maksud tertentu yang perlu kita perhatikan dan kita renungi bersungguh-sungguh agar dapat kita menyelami rahsianya."
Sayangku, cita-cita ini jangan kita padamkan walaupun kita sudah mendirikan rumah tangga. Ingatlah sayang, Ikatan kita Ikatan Wafa'.

**wafa' bermaksud janjisetia. Bagi kamus pendakwah: Berjanjisetia untuk terus berjuang menegakkan kalimah Allah sehingga ke akhir hayat.

Friday, September 16

Mahasiswa + Daei = Islam yang Syumul

Pada-Nya Kita Memuji....Pada-Nya kita memohon...Pada-Nya Kita berserah....

Tahun 1432 H bersamaan 2011 ...Tarikh yang penuh makna.
Kebangkitan Rakyat di seluruh negara2 Arab seperti Kejatuhan Mubarak di Mesir, Kemenangan di Tunisia dan Libya, Pertembungan berdarah yang masih berlaku di Yaman dan Syria, Krisis Kebuluran di Somalia dan segala kepahitan yang terpaksa ditelan oleh orang2 Islam di seluruh dunia samada suka atau tidak
.
Amerika Syarikat adalah pihak yang paling beruntung selama ini dalam pergolakan yang dialami umat Islam. Sistem demokrasi yang diwar-warkan oleh mereka cakap tidak serupa bikin. Kita boleh lihat apa yang terjadi di Palestin, Kashmir, Iraq dan Aghanistan. Dalam masa yang sama, percakaran sesama gerakan Islam hatta sesama ahli gerakan Islam yang sama yang masih berterusan ke hari ini hanya merugikan umat Islam yang telah menderita selama puluhan tahun sejak kehilangan tempat mereka bernaung (Khilafah Islamiyah). Sampai bila kita boleh duduk semeja dengan penuh ukhuwah tanpa rasa prejudis antara satu sama lain?

Dalam kegembiraan kita menyambut "cahaya baru" itu. Realiti kita sebagai seorang mahasiswa tidak boleh dikesampingkan. Kefahaman Islam yang syumul menuntut kita lebih bersungguh menunaikan harapan ummah dan ibu bapa dengan belajar bersungguh-sungguh. Dengan itu, realiti dunia hari ini mengukur prestasi berdasarkan peperiksaan. Mungkin penilaian ini tidak adil bagi sesetengah orang. Namun, perkara inilah yang menjadi pemangkin dan harapan baru buat dunia di luar sana yang menanti2 gerombolan pendakwah yang cemerlang dalam hidupnya, keluarganya, kerjayanya dan akademiknya untuk memimpin dunia ini.

Kerana itulah, Abu A'ala al-Maududi mengungkapkan kata2 yang menjadi rujukan gerakan Islah sepanjang zaman:
"Ketika mana umat Islam mula menguasai kepakaran dalam setiap urusan dunia, maka itu petanda kemenangan Islam semakin hampir"


"Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan tanahair ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita."
(Usul Pertama dalam Usul 20, As-Syahid Hasan al-Banna)


Di bumi perjuangan MESIR yang penuh barakah...
Keputusan peperiksaan yang ditunggu telah pun keluar, pelbagai reaksi timbul daripada mereka yang berkenaan. Ada yang gembira....tidak kurang yang bersedih....boleh tahan ramai yang terkejut.... Itu adalah hak masing-masing....setelah berusaha sebaik mungkin dan bertawakal....

Saya tujukan ayat Quran ini bagi yang berjaya mencapai apa yang dihajati...
"....Dia berkata: Ini adalah anugerah dari Tuhan-Ku untuk menguji apakah aku bersyukur atau aku tidak mengenang anugerah itu. Dan barangsiapa yang bersyukur, maka dia bersyukur pada dirinya sendiri dan barangsiapa yang kufur, Sesungguhnya Tuhan-Ku Maha Kaya lagi Maha Pemurah."
(an-Naml:40)

Bagi yang sebaliknya..... Jangan bersedih... Jangan berduka...Bergembiralah dengan ayat-ayat Allah ini....

"..Terimalah apa yang telah Allah berikan pada kamu dan jadilah mereka yang bersyukur.." (al-A'raf:144)
" Sesungguhnya bisikan itu daripada syaitan untuk membuat orang beriman bersedih..." (al-Mujadalah:10)
"...tiada sekali-kali apa yang menimpa kami kecuali telah ditetapkan Allah utk kami.." (at-Taubah:51)
"...barangkali Allah mahu membuat sesudah itu satu hal yang baru." (at-Tolaq:1)
"..Kesejahteraan dan berbahagialah ke atas kamu kerana telah bersabar menerima cubaan-Nya. Syurga adalah sebaik-baik tempat kesudahan.." (ar-Ra'ad:24)
"Sesungguhnya selepas kesusahan itu pasti ada kesenangan" (al-Insyirah:6)

Kesimpulannya....Alangkah indahnya hidup bersama Al-Quran.
" ...(Kami jelaskan itu) supaya kamu tidak berdukacita dengan apa yang hilang dari kamu dan supaya kamu tidak terlalu gembira dengan apa yang diberikan-Nya padamu.." (al-hadiid:23)