Friday, October 21

HIMPUN: Harapan itu masih ada..Yakinlah!

Saya terdetik untuk menulis di pagi hari ini. 22/10/2011. Tarikh bersejarah umat Islam di Malaysia buat pertama kali menolak ke tepi segala perbezaan ideologi, warna kulit dan logo masing-masing berhimpun atas satu perkara yang sama yang Allah s.w.t menjadikan kita semua sebagai satu keluarga yang besar…ikatan akidah. Saya doakan perhimpunan ini berjaya mencapai objektif dan diredhai Allah s.w.t. Apa2 pun berjaya atau tidak sasaran bilangan, yang penting kita sudah berusaha dan menyampaikan mesej kita.

Benarlah tulisan as-Syahid Syed Qutb di dalam buku beliau, Ma’alim Fi Toriq:
"Negara bagi setiap Muslim itu bukanlah sekadar tanah dan air tetapi "Islam", negara mana di dalamnya berdaulat akidah Islam dan berkuasa di dalamnya syariat Allah sahaja, negara di mana setiap orang Muslim menumpahkan taat setianya dan sanggup mempertahankannya, rela mati bermandi darah dan gugur syahid untuk mempertahankan negara itu dari segala ancaman dan pencerobohan dan untuk melebarkan lagi sayapnya mendaulatkan syariat Allah di seluruh pelosok dunia. Itulah Negara Islam bagi setiap orang yang menghayati Islam sebagai akidah dan syariat, juga bagi setiap orang yang rela dan patuh menerima syariat Islam menjadi undang-undang negara”.
(Petikan bab Kerakyatan seorang Muslim adalah Akidahnya)
Walaupun saya jauh dari tanah air, saya mengikuti rapat usaha2 HIMPUN ini yang pada awal projek ini, fanpage hanya 100 orang sahaja yang ‘like’ hinggalah ke saat ini sokongan mencecah lebih 1000 NGO yang akan turut serta. Saya tidak ingin menyentuh tentang berapa ramai yang hadir pada hari HIMPUN ini, adakah berjaya sejuta orang atau tidak. Tetapi sudut berbeza yang saya nampak peluang, ruang dan potensi lebih besar untuk digembleng ke arahnya… Membangun Ummah Beragenda.

Rasa gembira bercampur baur dengan rasa terharu melihat promosi dan kenyataan demi kenyataan oleh pimpinan politik, badan bukan kerajaan, gerakan mahasiswa dan keluarga terdekat yang satu nada menjulang isu yang sama “Selamatkan Akidah!”. Hatta nasyid tema oleh Munsyid Malaysia sangat menyetuh hati saya. Buat seketika media massa sunyi sebentar daripada cerita2 sensasi, fitnah-memfitnah dan memburuk-burukkan satu sama lain. Tahniah kepada anda semua!

Kalau tak silap saya, kali terakhir lagu yang digubah untuk isu umat Islam oleh gabungan PENASYID adalah lagu "Keamanan" dan "A Street in Kosovo" pada 1999. Bahkan Almarhum Ust. Fadzil Noor pernah duduk sepentas dengan Tun Dr. Mahathir atas isu Palestin pada Syarahan Perdana Isu Palestin anjuran ABIM dan DBP pada 8 Mei 2002.

Saya petik tulisan Sheikh Ahmad al-Rasyid dalam buku beliau, al-Masar:
Sesungguhnya kebaikan masih banyak dalam masyarakat kita. Keperluan gerak kerja kita pada hari ini adalah ke arah:
1. Cita-cita besar yang menyedarkan orang2 yang tidur dan membangunkan orang2 yang duduk
2. Kesedaran yang membuka mata orang yang mengikut membabi buta
3. Keberanian yang merangsang orang2 yang takut
4. Rasa rendah diri yang mengembalikan orang2 yang terkeluar kembali bersatu
Beliau turut menyatakan kerugian yang mungkin dialami pendakwah:
“Sesungguhnya pada generasi hari ini, kita lihat pada mereka masih banyak lagi unsur-unsur kebaikan. Jika kita berlengah-lengah dan banyak membuang masa maka penglibatan mereka dalam projek-projek kita akan sedikit dan kita akan melahirkan generasi yang jauh dari Islam”.

Pemuda adalah tempoh paling penting dalam kehidupan seorang manusia. (Rujuk tulisan saya dahulu). Budaya berkahwin awal sudah sinonim di kalangan mahasiswa/mahasiswi di Mesir. Saya juga tidak terlepas terkena bahangnya. Hinggakan kawan2 di tanah air bergurau, “Aku tengok kalau nak kahwin awal, kena pergi belajar di Mesir. Tapi aku peliklah. Kau ni ketara sangat lawan arus. Umur kau tu bukan umur budak habis SPM. Dah boleh sambut Jubli Perak tau!”. Saya hanya tersenyum mendengar usikan beliau.

Post pertama saya tentang perkahwinan, Sayang, Ikatan Kita Ikatan Wafa’ telah mencatat kenaikan mendadak terhadap pengunjung blog saya. 7 kali ganda daripada angka pelawat yang biasa. Hingga ke saat ini post ini sahaja yang konsisten bertambah pembacanya dari masa ke semasa berbanding posting2 saya yang lain. Kenapa ya?

Terkenang pada tahun 2009 dahulu, ketika saya diziarahi guru saya di rumah. Saya bertanya padanya: Kawan2 saya di kuliah sedang sibuk membahaskan perkahwinan di alam belajar. Masing2 memberi respon dari segi kesan positif dan negatif. Apa pendapat guru?

Guruku terdiam sebentar seolah2 sedang menyusun ayat. Kemudian dengan wajah tersenyum, beliau menjawab:
“Hai anakku, setiap manusia akan sibuk dengan apa yang mereka jadikan agenda. Jika itu agenda yang ingin mereka capai, segala tumpuan dan tenaga akan ke situ. Alangkah indahnya, jika agenda mereka itu menegakkan kalimah Allah, pasti segala kesibukan hatta perkahwinan sekalipun neracanya adalah mendaulatkan kalimah Allah”.
Terima kasih sang Guru atas nasihatmu. Akan ku pegang sepanjang hayat. Gerakkan dan pupukan kesedaran masyarakat kita akan agenda sebenar hidup mereka. Ayuh teman, kita Membangun Umat Beragenda!

Tuesday, October 11

Jangan biar ia padam


Kali ini tulisan saya panjang sedikit. Ia adalah monolog saya sendirian. Tulisan untuk diri sendiri...tulisan untuk cermin jiwa sendiri....siapa yang rajin nak baca sampai habis silakan.

Akhir-akhir ini dengan pelbagai himpitan yang berlaku. ditambah sedikit sebanyak perasaan sedih dan simpati terhadap saudara-saudara seakidah saya di Palestin, Afghanistan, Iraq, Kashmir, Mindanao, Chechnya, Somalia, Syria dan lain2. Dada saya agak sempit tersangat2. jiwa juga terasa tersepit2....

Kashmir, wilayah Islam di utara India, Asia Selatan yang terus sunyi tanpa pembelaan daripada mana-mana negara Islam. Konflik yang berterusan sejak 1947 dianggap konflik paling lama di dunia selain Palestin dalam sejarah moden hari ini. Ribuan nyawa telah melayang sejak perebutan wilayah ini antara Pakistan dan India. Airmata mereka sudah kering kerana terlalu lama menanti tangan-tangan yang menghulurkan bantuan...
Baca sejarah mereka di sini

Saya tidak akan lupa selama-lamanya buat nasib saudara yang ditindas di negara2 Islam. Setiap malam airmata cuba ditahan2 supaya tidak berderai menyesali apa yang saya sumbangkan untuk meringankan penderitaan mereka. Kemewahan, keselesaan dan ketenangan yang saya rasai tidak adil buat mereka kerana mereka pada setiap hari terpaksa memikirkan bagaimana mencari sesuap makanan dan cara2 untuk terus survive drpd terkorban dalam konflik yang tidak nampak hujungnya......Maafkan jika ada hari2 yang saya lalui penuh kelalaian tidak sempat mendoakan keringanan buat anda di sana

Bihest-e-Shuhdai-e-Kashmir bermaksud Syurga Para Syuhada' Kashmir adalah kubur terbesar bagi penduduk Islam yang terbunuh dalam konflik dengan kerajaan Hindu India sejak lebih puluhan tahun yang lalu. Dianggarkan wujud 500 kubur beramai-ramai di serata bumi Kashmir. (sumber: aljazeera.net/english)

Perjuangan menegakkan kalimah Allah tidak semudah yang dikata. Perjuangan ini adalah pertembungan antara iman dan hawa nafsu. Tabiat iman itu susah manakala tabiat nafsu itu sukakan keselesaan dan kerehatan. Syeikh Ahmad ar-Rasyid mengungkapkan di dalam karya agungnya fikh dalam berdakwah, buku al-Muntolaq:
"Para pendakwah sentiasa terdedah kepada dua tarikan: Tarikan keimanan, niat, kesungguhan dan kesedarannya terhadap tanggungjawab. Dengan itu dia berada dalam amal salih dan azam kebaikan. Tarikan syaitan pula dari sudut yang lain, menghiasi futurnya dan menghiasi cintanya kepada dunia. Menyebabkan dia berada dalam kelalaian, malas, panjang angan-angan dan berlengah-lengah dalam mempelajari apa yang tidak diketahuinya".
Oleh itu, perlu sentiasa dan berterusan kita untuk memeriksa hati-hati kita dan menutup segala ruang yang boleh membolak-balikkan hati kita daripada tarikan iman kepada hawa nafsu yang melalaikan.

Kekuatan dalaman adalah rahsia mengapa umat islam di zaman awal Islam diwajibkan bangun qiamullail sehingga bengkak2 kaki mereka. Lalu dengan rasa kasihan melihat ibadah mereka, maka Allah meringankan dan hukum bertukar sunat. Namun, Rasulullah s.a.w terus diwajibkan kerana tugas menyampaikan risalah Islam sangat2 berat. Suatu hari seorang syeikh yang saya berguru dengannya menyebut:
" Kamu adalah roh baru yang mengalir dalam jasad umat ini' Kamu adalah keazaman yang kuat dan kekuatan dalaman untuk menjayakan agenda yang besar untuk umat. Roh adalah penolak anda untuk terus berkorban, hidup untuk orang lain dan tidak sama sekali berfikir untuk berhenti beramal"


Hari ini bermacam2 cara dicuba untuk menyelamatkan iman di akhir zaman ini. As-syahid Syed Qutb pula mengungkapkan formula yang sangat menarik tentang cara2 menanamkan iman yang luar daripada kefahaman orang biasa:
"Iman yang sebenar tidak akan dapat diterapkan sepenuhnya di dalam hati melainkan setelah hati ini bermujahadah melawan manusia semata-mata demi iman ini. Melawan manusia dengan membenci kesesatan dan kejahilan mereka, dan sentiasa bertekad untuk mengalihkan manusia daripada kesesatan ini kepada kebenaran dan kepada Islam. Melawan manusia dengan lisan yang menyampaikan dan menjelaskan tentang Islam, menepis segala kebatilan mereka dan menyuarakan kebenaran yang dibawa oleh Islam". ( dipetik daripada buku Inilah Islam)
Beliau menambah lagi:
"Iman yang sebenar juga tidak akan mantap di hati kecuali setelah hati ini bermujahadah melawan manusia kerana secara tidak langsung ia sebenarnya telah bermujahadah melawan dirinya sendiri. Mereka selama-lamanya tidak akan memahami fenomena alam ini jika masih memerap diri, duduk dalam keadaan aman dan selesa."
Perjalanan menuju kepada Allah adalah membawa hati yang suci bersih pada hari Kiamat. Oleh itu, seorang ulama' islam sering mengingatkan anak-anak muda di zamannya:
"Wahai anak muda! kefahaman lidahmu tanpa amalan hati tidak akan membawa engkau kepada kebenaran walaupun selangkah. Sesungguhnya perjalanan ini adalah perjalanan hati" (al-Kailani)
Perjalanan ini tidak kenal henti. Imam Ahmad ketika ditanya oleh anak-anak muridnya, mengapa tidak beliau menyerah sahaja kepada tuntutan penguasa supaya dapat berehat sebentar daripada seksaan yang dahsyat kerana mereka terlalu kasihan melibat tubuh gurunya yang lunyai menjawab:
"Anakku, rehatku hanya apabila aku pasti salah satu kakiku ini berada di dalam syurga"
Facebook adalah fenomena yang sangat2 merugikan generasi muda Islam. Menurut kajian Institut Sosial Malaysia (ISM), 60,000 pelajar 12 hingga 18 tahun ketagih FB hingga menghabiskan sekurang-kurangnya 4 jam sehari melayari laman sosial tersebut. Berapa ramai pendakwah bermudah-mudah dalam hubungan sosial tanpa sempadan ini? Mereka sendiri membuka ruang untuk syaitan menganggu gugat hati-hati mereka agar terus lalai daripada agenda yang besar.

Coretan berupa nasihat saya kepada diri sendiri dan semua orang yang berusaha siang dan malam bekerja keras menyampaikan agenda Islam kepada masyarakat terutama buat pemuda pemudi yang bergelora jiwanya:

1. Tutuplah ruang yang boleh membolak-balikkan hati kita daripada tugasan besar. Berhati-hatilah dalam menggunakan laman sosial yang membuka seluas-luas ruang perkenalan dengan bukan muhrim tanpa asas syarak. Jika anda sudah terjebak, rawatannya sangat sukar dan memerlukan masa yang lama sedangkan umat sedang menanti kemaraan anda semua

2. Jagalah hubungan kita dengan Allah s.w.t dengan menjaga sepenuhnya amal-amal harian seperti tilawah al-Quran, zikir pagi dan petang, solat jemaah dan bangun malam mengikut kemampuan masing2.


3. Berusahalah menyampaikan Islam melalui apa sahaja medium dan cara yang ada. Janganlah menyempitkan penyebaran Islam melalui cara-cara tentu sahaja.

4. Usah membanding diri kita dengan orang lain. Setiap orang diberi kemampuan yang berbeza2 sesuai dengan diri mereka. Berusahalah sedaya mungkin dalam kemampuan kita dan bidang kita. Allah menilai usaha yang anda lakukan bukan hasil yang kita raih.


Abu Mujahid, Cairo, Mesir
11/10/2011


Monday, October 3

Syariah Islam yang Saya Fahami

Isu hudud kembali bergema. Sejak saya kecil lagi, selalunya ia dibangkitkan ketika hampir dengan musim pilihanraya. Entah kenapa hukum Allah ini boleh menjadi laba politik parti-parti politik tertentu, saya pun tak pasti. Cuma saya merasa terpanggil untuk menerangkan secara ringkas dan padat supaya golongan bukan ahli agama (keluarga saya dan masyarakat am) dapat memahami isu sebenar dan berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Alhamdulillah. Rakyat Malaysia sekarang mula bercakap tentang penegakkan syariah di Malaysia. Perbincangan secara ilmiah jauh daripada blok kepartian sempit dan kepentingan peribadi akan membuahkan kefahaman yang sebenar terhadap permasalahan penegakkan syariah di Malaysia. Setiap orang hanya perlu mengemukakan dalil masing2 dan tidak sekali2 bercakap tanpa dasar ilmu sebagai prinsip dan disiplin dalam tuntutan ilmu.

Saya secara umum gembira dengan kenyataan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz untuk Kelantan menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993. Walaupun berdepan dengan polemik politik dan undang-undang tersebut tidak mungkin dilaksanakan kecuali dengan pindaan pada Perlembagaan Negara, ketegasan beliau sangat dihormati. Itulah tuntutan dan tanggungjawab tuan guru sebagai seorang muslim yang faham akan tuntutan kalimah syahadah yang diungkapkannya sebelum berjumpa dengan Allah s.w.t. Beliau menjadi idola saya sebelum Reformasi 1998 lagi.

Namun begitu, bagi saya penegakkan syariah di Malaysia ataupun di dunia suatu hari nanti bukan sekadar perlaksanaan undang-undang hudud. Tetapi syariah membawa maksud yang lebih besar daripada itu. Dalam banyak2 tasiran ulama' tentang pengertian syariah, saya lebih suka mengambil definisi mudah dan ringkas yang diungkapkan Almarhum As-Syahid Syed Qutb r.a, seorang ilmuan Islam Mesir:
"Syariat Allah itu bermaksud segala sesuatu yang telah diatur oleh Allah untuk mengurus hidup umat manusia. Ini merangkumi dasar kepercayaan dan pegangan manusia, dasar sebuah pemerintahan, dasar mengenai moral dan tatasusila dan juga dasar mengenai ilmu pengetahuan merangkumi pemikiran dan kesenian. ia merangkumi soal hakikat ketuhanan, hakikat alam seluruhnya (baik yang ghaib mahupun yang nyata), hakikat kehidupan (baik yang ghaib mahupun yang nyata), dan juga hakikat manusia itu sendiri serta hakikat pertalian segalanya itu dengan manusia" (Petunjuk Sepanjang Jalan).
Oleh itu, syariah merangkumi:
1) kepercayaan dan pegangan manusia kepada Allah s.w.t
2) apa jua bentuk politik, sosial dan ekonomi dan dasar-dasar bagi semuanya itu; supaya terlaksanalah "pengabdian yang sebenar" kepada Yang Maha Esa.
3) penguatkuasaan undang-undang yang mengatur realiti hidup manusia: iaitu yang biasa dinamakan "syariah" mengikut pengertian yang sempit dan tidak.merangkumi maksud yang sebenar menurut neraca Islam manusia hari ini.
4) asas-asas mengenai moral dan tatasusila, juga di dalam nilai-nilai yang mempengaruhi masyarakat, yang menjadi pegangan umat manusia dan menjadi ukuran bagi semua kejadian di dalam hidup bermasyarakat.
5) aspek ilmu pengetahuan dalam setiap sudut samada kegiatan fikiran dan juga kegiatan seni.

Mendefinisikan syariah kepada penguatkuasaan undang-undang hudud sahaja yang merupakan juzuk kecil daripada syariah adalah tidak adil dan tidak amanah kepada Islam itu sendiri. Inilah tafsiran sempit yang cuba ditanamkan musuh-musuh Islam kepada hakikat keindahan syariah Islam yang bersifat rahmat (hidayah). Islam datang untuk membetulkan kepercayaan tahyul dan mistik kepada ketundukan mutlak kepada Allah, memperbaiki tingkahlaku dan moral masyarakat, menegakkan hukum Allah di atas muka bumi dan menyebarkan cahaya-Nya ke seluruh dunia.

Menurut Ustaz Abdul Halim Abdullah, tokoh dakwah yang tidak asing di Negeri Sembilan:
"Syariat Islam sifatnya membangunkan manusia dan dunia, zahir dan batin, manakala hukum menghukum seperti hudud, takzir dan seumpamanya boleh kita nisbahkan sebagai hanya 5% sahaja daripada Syariat Islam yang sifat umumnya adalah membangun. Sebab itu Al-Quran yang mempunyai lebih 6000 ayat hanya mempunyai sekitar 500 ayat sahaja mengenai hukum hakam atau dipanggil “Ayat-ayat Ahkam”. Dari sekitar 500 ayat-ayat ahkam, hanya sebahagian kecil sahaja yang menyentuh hukum hudud dan selainnya menggarap isu-siu ekonomi, muamalat, munakahat, hubungan antarabangsa dan sebagainya".
Kesimpulan saya, tugas umat Islam adalah untuk melaksanakan hukum Allah s.w.t dalam segenap aspek kehidupan mereka. Adapun hudud, ia hanya sebahagian daripada syariah Islam yang lebih luas maknanya.

Dengan itu, saya menyeru kepada setiap pihak di Malaysia khususnya:
1) kerajaan yang memerintah supaya melaksanakan pembaharuan dalam pentadbiran negara dengan menyerap aspek Islam dalam soal pentadbiran, pengurusan ekonomi dan pengurusan masyarakat. Membanteras budaya rasuah, fitnah, pergaulan bebas, bahan lucah dan lain-lain. Menggubal undang-undang yang mencegah tersebar-luasnya kemungkaran dan memantapkan sistem pendidikan Islam bersepadu.
2) golongan agamawan supaya ke depan menjelaskan kefahaman Islam yang sebenar dalam masyarakat dan bersifat proaktif dalam menjawab kekeliruan yang timbul dalam masyarakat.
3) gerakan Islam yang bekerja di lapangan supaya melipat-gandakan usaha-usaha memahamkan masyarakat dengan kerja-kerja sosial, ilmiah dan lain-lain supaya Islam yang syumul sebagai satu cara hidup difahami dengan baik.

Allah sebaik-baik petunjuk dan penolong.

4/10/2011
Ustaz Izzuddin Selamat,
Jabatan Tafsir, Fakulti Usuluddin dan Dakwah,
Universiti al-Azhar, Mesir.
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).