Monday, February 27

Biarlah Orang Lain Bahagia...

Siri Nota untuk Para Mujahid (5)

"Only a life lived for others is a life worth living" (Albert Einstein)

Albert Einstein adalah tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau adalah ahli fizik berbangsa Jerman (melarikan diri ke Amerika Syarikat ketika Adolf Hitler naik ke puncak kuasa) yang dianggap sebagai ahli sains yang teragung pada abad ke-20. Einstein telah mencipta Teori Relativiti yang menjadi fenomena yang mengubah lanskap ilmu-ilmu fizik pada masa itu. Atas kejayaan itu, beliau dianggap sebagai Bapa Fizik Moden dan salah seorang intelektual terhebat dalam sejarah manusia. Einstein telah dianugerahkan dengan Hadiah Nobel dalam bidang Fizik pada tahun 1921 bagi penjelasannya mengenai kesan fotoelektrik dalam tahun 1905.

Ada pendapat menyokong kebenaran kata-kata Albert Einstein ini. Benar atas dasar kemanusiaan dan takut kepada ancaman Nazi Jerman pada masa itu yang mula membangunkan senjata atom di mana akan membawa malapetaka kepada dunia. Hal ini dibuktikan, apabila beliau menulis surat kepada Presiden Amerika Syarikat, Franklin Roosevelt pada 1939 mendesaknya menyelidiki pembelahan nuklear bagi kegunaan tentera, disebabkan ketakutan bahawa kerajaan Nazi Jerman akan mengembangkan senjata atom terlebih dahulu. Presiden Roosevelt membuat penyiasatan tentang hal tersebut dan kemudian memulakan sebuah projek penuh rahsia yang dinamakan Projek Manhattan secara besar-besaran.

Namun, kata-kata beliau ini mungkin boleh dipertikaikan. Siapakah "orang lain" yang dimaksudkan dalam kata-kata beliau ini? Adakah beliau benar-benar membangunkan senjata paling berbahaya di dunia ini atas mesej kasih sayang kepada umat manusia? Ini kerana senjata atom yang dibangunkan beliau dan saintis-saintis dari Amerika Syarikat, Britain dan Kanada telah membunuh lebih daripada 250,000 orang dalam satu hari sewaktu pengeboman Hiroshima dan Nagasaki dalam Perang Dunia Kedua.

Projek Manhattan adalah suatu projek besar-besaran kerajaan Amerika Syarikat yang menggunakan tenaga kerja seramai 130,000 orang dan menelan belanja $ 25.8 Billion dollar. Projek yang memerlukan kepakaran terbaik negara dalam jumlah yang besar dan tenaga yang produktif sewaktu era perang adalah satu perkara yang sukar. Oleh itu, kerajaan Amerika telah menyenaraikan nama2 saintis yang diberi perlepasan dari universiti untuk berkhidmat demi projek ini. Dalam tempoh projek ini berlangsung, kadar kemalangan sewaktu bekerja adalah 62 kes kematian dan 3879 kes kecederaan. Pada 1945, projek ini telah dianugerahkan Award of Honor for Distinguished Service to Safety oleh National Safety Council (NSC) atas angka yang rendah bagi jumlah yang ramai itu hasil keselamatan yang tinggi dan dedikasi para saintis dan para pekerjanya. Projek ini telah berjaya mencapai matlamatnya apabila Amerika Syarikat muncul sebagai The World Superpower dengan kehadiran senjata baru ini. Menghalang Nazi Jerman daripada menggunakannya untuk perluasan kuasa dan dominasi dunia. Senjata ini digunakan untuk menggertak mana2 negara yang cuba mencabar keamanan dunia.
Bagi saya, ketika membaca sejarah bagaimana idea senjata atom ini boleh keluar mempunyai pelbagai pengajaran menarik yang boleh diambil. Namun, idea utama penulisan saya kali ini adalah bagaimana idea ini boleh muncul dan beliau telah mempengaruhi kerajaan dan pekerja2 untuk menjayakan projek ini atas nama kesejahteraan dunia.

Mana-mana perjuangan yang ingin berjaya mencapai matlamat perjuangan mereka mesti menuntut pengorbanan dari anggota mereka. Mereka bekerja siang dan malam sehingga terpaksa kurang tidur, makan tidak terurus dan menempuh tekanan demi tekanan demi memastikan segala gerak kerja selari dengan perancangan dan tempoh yang diletakkan. Meninggalkan rasa malas, penat dan berfikir dalam kerangka diri sendiri sahaja....
أجدر الناس بالكرامة: عبد تلفت نفسه ليسلم دينه
"Manusia yang paling berhak mendapat penghormatan: manusia yang dirinya hancur binasa agar agamanya selamat sejahtera" (Walid al-Azoma)
Itulah tabiat kehidupan ini. Para pendakwah lebih berhak membawa mesej ini kerana Risalah Langit yang ada di tangan mereka. Rasulullah s.a.w sendiri terpaksa dihina, diseksa, dimalukan dan diperangi kaumnya sendiri bahkan kehidupan baginda selama 23 tahun yang dipenuhi dengan darah dan air mata hanya semata2 supaya umatnya selamat dari menjadi bakaran api neraka nanti. Biar diri merana agar orang lain bahagia. Mesej kasih sayang dan rahmat untuk seluruh dunia!
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman" (Surah Taubah:128)
Kita yang mendakwa kita diri kita sebagai pendokong Islam, adakah kita sanggup "hidup untuk orang lain"?