Saturday, June 2

Seindah Warna Pelangi (1)

Siri Nota untuk Para Mujahid (6)

Banyak ciptaan yang indah di dunia ini. Indahnya sang pelangi. Indahnya pakaian yang bersih dan kemas. Keindahan selalunya diertikan sebagai sempurna sifat. Secara semulajadi kita ada kecenderungan sukakan kesempurnaan dan kecantikan. Sebagai contoh kita tidak akan memakai pakaian yang koyak ke majlis rasmi dan tidak akan membeli sayuran dan buah-buahan yang rosak.

Namun, sesempurna mana pun ciptaan di dunia ini, kesempurnaan hanya bagi Allah s.w.t. Tiada langsung kekurangan dan kelemahan pada-Nya.

إن الله جميل يحب الجمال
Sesungguhnya Allah itu cantik menyukai perkara yang cantik2" (Riwayat Muslim)
Oleh itu, Allah s.w.t yang Maha Sempurna mahukan pada setiap hamba-Nya cuba mencapai kesempurnaan dalam kehidupan mereka di dunia ini.
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُحِبُّ مَعَالِيَ الأُمُورِ وَيَكْرَهُ سَفَاسِفَهَا
Seseungguhnya Allah sukakan perkara yang hebat-hebat dan membenci perkara yang remeh temeh” (Riwayat Abu Bakar ar-Razi)
Sebagai tanda Allah s.w.t sukakan kesempurnaan, setiap ibadah yang kita lakukan jika kurang syarat ia akan dianggap mencacatkan. Maka Allah yang Maha Sempurna lagi Maha Cantik akan meminta untuk kita kembali menyempurnakannya. Di sini saya bawakan satu contoh, di mana Allah s.w.t mensyariatkan fidyah (denda) dan puasa (bagi yang tidak mampu menyediakan binatang sembelihan) sekiranya mereka meninggalkan perkara yang diperintahkan di dalam haji dalam firman-Nya:
“Apabila kamu merasa aman, bagi sesiapa yang ingin mengerjakan umrah sebelum haji wajiblah dia menyembelih binatang yang mudah didapati, Tetapi jika tidak mampu, maka wajib berpuasa 3 hari dalam masa haji dan 7 hari apabila pulang kembali. Itulah 10 hari yang sempurna” (al-Baqarah:196)
Allah s.w.t menyeru umat Islam supaya berusaha sedaya upaya melakukan ibadah haji dan menjaganya daripada perkara yang mencacatkan. Jika seseorang meninggalkan salah satu daripada kewajipan haji seperti tidak berihram di miqat, tidak bermalam di Mina ataupun meninggalkan melontar jamrah, dia hendaklah menyembelih seekor kambing jika mampu. Kalau tidak mampu, wajib berpuasa 3 hari sewaktu haji dan 7 hari apabila pulang kepada keluarganya.

Kenapa 3 hari?
Menurut Syeikh Dr. Husain al-Bar (seorang ulama’ al-Azhar, pakar bidang tafsir) Allah s.w.t menyuruh 3 hari puasa kerana untuk memudahkan. Ibadah haji penuh dengan kesukaran, amal ibadah yang banyak dan curahan tenaga yang berterusan. 3 hari adalah angka yang mudah dan mampu dilakukan oleh orang yang beriltizam dengan perintah Allah s.w.t.

Kenapa 7 hari?
Menurut beliau lagi, 7 hari selepas haji kerana tidak sesukar di tanah suci. Dan hikmah paling utama yang ingin dicapai ialah menjadi kebiasaan orang-orang Arab angka 7 melambangkan kesempurnaan. Allah menciptakan langit selama 7 hari, bumi selama 7 hari, seminggu mempunyai 7 hari, ibadah tawaf 7 kali pusingan dan lain-lain. Bila mana seorang hamba berpuasa 7 hari, dia telah Berjaya mencapai perintah Allah di awal ayat tersebut!
“Dan sempurnakanlah haji dan umrah yang kamu lakukan kerana Allah!” (al-Baqarah:196)
Subhanallah! Betapa indahnya Islam yang diturunkan dari sisi Allah s.w.t.

Masalah kita hari ini…
Umat Islam pada hari ini mundur jauh ke belakang. Rasa lesu, terlalu bergantung kepada orang lain, menyalahkan itu dan ini, tidak bersungguh-sungguh, putus asa, pesimis dan mengharapkan sesuatu yang ajaib turun mengubah keadaan. Syakib Arsalan meluahkan perasaan beliau di dalam buku beliau:
Sesungguhnya umat Islam pada hari ini tidak berani tampil ke hadapan untuk membela agama, bangsa dan negara tidak seperti umat sebelum mereka, mereka lebih suka berdiam diri dari sama-sama keluar berjihad dan berdakwah kejalan Allah s.w.t dan membantu saudara seagama mereka dari ditindas, mereka juga beranggapan bahawa mereka tidak perlu memiliki senjata yang moden kerana mereka mengharapkan kepada janji Allah s.w.t semata-mata.
(Kenapa umat Islam mundur sedangkan bangsa lain maju?)
Seorang ulama’ menyebut bahawa sebabnya adalah kita sebenarnya bermain-main dengan ibadah kita.
Seorang ahli fiqh daripada para tabi’in Kufah yang arif dan bijaksana, Amir As-Sya’bi telah meriwayatkan bahawa ada beberapa lelaki telah keluar dari Kufah dan tinggal di pinggir bandar, beribadah di sana. Berita itu telah sampai ke pengetahuan Abdullah bin Mas’ud r.a.

Beliau pun datang berjumpa mereka. Orang-orang itu gembira dengan kedatangan beliau. Ibnu Mas’ud bertanya kepada mereka: “Apakah yang mendorong kamu berbuat begini?”

Mereka berkata: “Kami ingin lari dari hingar bingar kelam kelibut orang ramai untuk beribadat.”

Kata Abdullah bin Mas’ud: “Jika semua orang berbuat seperti apa yang kamu buat, siapakah yang akan memerangi musuh? Aku tidak akan tinggalkan tempat ini sehinggalah kamu pulang.” (Kitab az-Zuhd, Ibnu Mubarak)
Kita menyangka bahawa ibadah adalah di tikar sembahyang semata-mata. Kita lupa bahawa belajar kita, kerjaya kita, perkahwinan kita, jihad kita, dakwah kita dan kehidupan seluruhnya adalah ibadah. Ibadah yang mesti dipersembahkan secara sempurna kepada Allah. Kita lupa…Kita Lupa!
إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه
"Sesungguhnya Allah menyukai apabila kamu melakukan amalan kamu dengan penuh itqan (teliti dan sempurna)"
(Riwayat Thabrani, disahihkan oleh Al-Bani)
Maka tidak hairanlah Allah terus mencampakkan kehinaan kepada kita kerana kita mempersembahkan ibadah yang buruk-buruk kepada Allah. Kehinaan umat di Palestin, Syria, Afghanistan, Iraq dan lain akan berterusan...Kita semakin risau jika penyakit umat ini yang melanda anak-anak pendakwah.

# pelangi yang indah juga terdiri daripada 7 warna berbeza. Subhanallah!

Bersambung……..