Showing posts with label Siri Nota untuk Para Mujahid. Show all posts
Showing posts with label Siri Nota untuk Para Mujahid. Show all posts

Saturday, June 2

Seindah Warna Pelangi (1)

Siri Nota untuk Para Mujahid (6)

Banyak ciptaan yang indah di dunia ini. Indahnya sang pelangi. Indahnya pakaian yang bersih dan kemas. Keindahan selalunya diertikan sebagai sempurna sifat. Secara semulajadi kita ada kecenderungan sukakan kesempurnaan dan kecantikan. Sebagai contoh kita tidak akan memakai pakaian yang koyak ke majlis rasmi dan tidak akan membeli sayuran dan buah-buahan yang rosak.

Namun, sesempurna mana pun ciptaan di dunia ini, kesempurnaan hanya bagi Allah s.w.t. Tiada langsung kekurangan dan kelemahan pada-Nya.

إن الله جميل يحب الجمال
Sesungguhnya Allah itu cantik menyukai perkara yang cantik2" (Riwayat Muslim)
Oleh itu, Allah s.w.t yang Maha Sempurna mahukan pada setiap hamba-Nya cuba mencapai kesempurnaan dalam kehidupan mereka di dunia ini.
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُحِبُّ مَعَالِيَ الأُمُورِ وَيَكْرَهُ سَفَاسِفَهَا
Seseungguhnya Allah sukakan perkara yang hebat-hebat dan membenci perkara yang remeh temeh” (Riwayat Abu Bakar ar-Razi)
Sebagai tanda Allah s.w.t sukakan kesempurnaan, setiap ibadah yang kita lakukan jika kurang syarat ia akan dianggap mencacatkan. Maka Allah yang Maha Sempurna lagi Maha Cantik akan meminta untuk kita kembali menyempurnakannya. Di sini saya bawakan satu contoh, di mana Allah s.w.t mensyariatkan fidyah (denda) dan puasa (bagi yang tidak mampu menyediakan binatang sembelihan) sekiranya mereka meninggalkan perkara yang diperintahkan di dalam haji dalam firman-Nya:
“Apabila kamu merasa aman, bagi sesiapa yang ingin mengerjakan umrah sebelum haji wajiblah dia menyembelih binatang yang mudah didapati, Tetapi jika tidak mampu, maka wajib berpuasa 3 hari dalam masa haji dan 7 hari apabila pulang kembali. Itulah 10 hari yang sempurna” (al-Baqarah:196)
Allah s.w.t menyeru umat Islam supaya berusaha sedaya upaya melakukan ibadah haji dan menjaganya daripada perkara yang mencacatkan. Jika seseorang meninggalkan salah satu daripada kewajipan haji seperti tidak berihram di miqat, tidak bermalam di Mina ataupun meninggalkan melontar jamrah, dia hendaklah menyembelih seekor kambing jika mampu. Kalau tidak mampu, wajib berpuasa 3 hari sewaktu haji dan 7 hari apabila pulang kepada keluarganya.

Kenapa 3 hari?
Menurut Syeikh Dr. Husain al-Bar (seorang ulama’ al-Azhar, pakar bidang tafsir) Allah s.w.t menyuruh 3 hari puasa kerana untuk memudahkan. Ibadah haji penuh dengan kesukaran, amal ibadah yang banyak dan curahan tenaga yang berterusan. 3 hari adalah angka yang mudah dan mampu dilakukan oleh orang yang beriltizam dengan perintah Allah s.w.t.

Kenapa 7 hari?
Menurut beliau lagi, 7 hari selepas haji kerana tidak sesukar di tanah suci. Dan hikmah paling utama yang ingin dicapai ialah menjadi kebiasaan orang-orang Arab angka 7 melambangkan kesempurnaan. Allah menciptakan langit selama 7 hari, bumi selama 7 hari, seminggu mempunyai 7 hari, ibadah tawaf 7 kali pusingan dan lain-lain. Bila mana seorang hamba berpuasa 7 hari, dia telah Berjaya mencapai perintah Allah di awal ayat tersebut!
“Dan sempurnakanlah haji dan umrah yang kamu lakukan kerana Allah!” (al-Baqarah:196)
Subhanallah! Betapa indahnya Islam yang diturunkan dari sisi Allah s.w.t.

Masalah kita hari ini…
Umat Islam pada hari ini mundur jauh ke belakang. Rasa lesu, terlalu bergantung kepada orang lain, menyalahkan itu dan ini, tidak bersungguh-sungguh, putus asa, pesimis dan mengharapkan sesuatu yang ajaib turun mengubah keadaan. Syakib Arsalan meluahkan perasaan beliau di dalam buku beliau:
Sesungguhnya umat Islam pada hari ini tidak berani tampil ke hadapan untuk membela agama, bangsa dan negara tidak seperti umat sebelum mereka, mereka lebih suka berdiam diri dari sama-sama keluar berjihad dan berdakwah kejalan Allah s.w.t dan membantu saudara seagama mereka dari ditindas, mereka juga beranggapan bahawa mereka tidak perlu memiliki senjata yang moden kerana mereka mengharapkan kepada janji Allah s.w.t semata-mata.
(Kenapa umat Islam mundur sedangkan bangsa lain maju?)
Seorang ulama’ menyebut bahawa sebabnya adalah kita sebenarnya bermain-main dengan ibadah kita.
Seorang ahli fiqh daripada para tabi’in Kufah yang arif dan bijaksana, Amir As-Sya’bi telah meriwayatkan bahawa ada beberapa lelaki telah keluar dari Kufah dan tinggal di pinggir bandar, beribadah di sana. Berita itu telah sampai ke pengetahuan Abdullah bin Mas’ud r.a.

Beliau pun datang berjumpa mereka. Orang-orang itu gembira dengan kedatangan beliau. Ibnu Mas’ud bertanya kepada mereka: “Apakah yang mendorong kamu berbuat begini?”

Mereka berkata: “Kami ingin lari dari hingar bingar kelam kelibut orang ramai untuk beribadat.”

Kata Abdullah bin Mas’ud: “Jika semua orang berbuat seperti apa yang kamu buat, siapakah yang akan memerangi musuh? Aku tidak akan tinggalkan tempat ini sehinggalah kamu pulang.” (Kitab az-Zuhd, Ibnu Mubarak)
Kita menyangka bahawa ibadah adalah di tikar sembahyang semata-mata. Kita lupa bahawa belajar kita, kerjaya kita, perkahwinan kita, jihad kita, dakwah kita dan kehidupan seluruhnya adalah ibadah. Ibadah yang mesti dipersembahkan secara sempurna kepada Allah. Kita lupa…Kita Lupa!
إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه
"Sesungguhnya Allah menyukai apabila kamu melakukan amalan kamu dengan penuh itqan (teliti dan sempurna)"
(Riwayat Thabrani, disahihkan oleh Al-Bani)
Maka tidak hairanlah Allah terus mencampakkan kehinaan kepada kita kerana kita mempersembahkan ibadah yang buruk-buruk kepada Allah. Kehinaan umat di Palestin, Syria, Afghanistan, Iraq dan lain akan berterusan...Kita semakin risau jika penyakit umat ini yang melanda anak-anak pendakwah.

# pelangi yang indah juga terdiri daripada 7 warna berbeza. Subhanallah!

Bersambung……..

Monday, February 27

Biarlah Orang Lain Bahagia...

Siri Nota untuk Para Mujahid (5)

"Only a life lived for others is a life worth living" (Albert Einstein)

Albert Einstein adalah tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau adalah ahli fizik berbangsa Jerman (melarikan diri ke Amerika Syarikat ketika Adolf Hitler naik ke puncak kuasa) yang dianggap sebagai ahli sains yang teragung pada abad ke-20. Einstein telah mencipta Teori Relativiti yang menjadi fenomena yang mengubah lanskap ilmu-ilmu fizik pada masa itu. Atas kejayaan itu, beliau dianggap sebagai Bapa Fizik Moden dan salah seorang intelektual terhebat dalam sejarah manusia. Einstein telah dianugerahkan dengan Hadiah Nobel dalam bidang Fizik pada tahun 1921 bagi penjelasannya mengenai kesan fotoelektrik dalam tahun 1905.

Ada pendapat menyokong kebenaran kata-kata Albert Einstein ini. Benar atas dasar kemanusiaan dan takut kepada ancaman Nazi Jerman pada masa itu yang mula membangunkan senjata atom di mana akan membawa malapetaka kepada dunia. Hal ini dibuktikan, apabila beliau menulis surat kepada Presiden Amerika Syarikat, Franklin Roosevelt pada 1939 mendesaknya menyelidiki pembelahan nuklear bagi kegunaan tentera, disebabkan ketakutan bahawa kerajaan Nazi Jerman akan mengembangkan senjata atom terlebih dahulu. Presiden Roosevelt membuat penyiasatan tentang hal tersebut dan kemudian memulakan sebuah projek penuh rahsia yang dinamakan Projek Manhattan secara besar-besaran.

Namun, kata-kata beliau ini mungkin boleh dipertikaikan. Siapakah "orang lain" yang dimaksudkan dalam kata-kata beliau ini? Adakah beliau benar-benar membangunkan senjata paling berbahaya di dunia ini atas mesej kasih sayang kepada umat manusia? Ini kerana senjata atom yang dibangunkan beliau dan saintis-saintis dari Amerika Syarikat, Britain dan Kanada telah membunuh lebih daripada 250,000 orang dalam satu hari sewaktu pengeboman Hiroshima dan Nagasaki dalam Perang Dunia Kedua.

Projek Manhattan adalah suatu projek besar-besaran kerajaan Amerika Syarikat yang menggunakan tenaga kerja seramai 130,000 orang dan menelan belanja $ 25.8 Billion dollar. Projek yang memerlukan kepakaran terbaik negara dalam jumlah yang besar dan tenaga yang produktif sewaktu era perang adalah satu perkara yang sukar. Oleh itu, kerajaan Amerika telah menyenaraikan nama2 saintis yang diberi perlepasan dari universiti untuk berkhidmat demi projek ini. Dalam tempoh projek ini berlangsung, kadar kemalangan sewaktu bekerja adalah 62 kes kematian dan 3879 kes kecederaan. Pada 1945, projek ini telah dianugerahkan Award of Honor for Distinguished Service to Safety oleh National Safety Council (NSC) atas angka yang rendah bagi jumlah yang ramai itu hasil keselamatan yang tinggi dan dedikasi para saintis dan para pekerjanya. Projek ini telah berjaya mencapai matlamatnya apabila Amerika Syarikat muncul sebagai The World Superpower dengan kehadiran senjata baru ini. Menghalang Nazi Jerman daripada menggunakannya untuk perluasan kuasa dan dominasi dunia. Senjata ini digunakan untuk menggertak mana2 negara yang cuba mencabar keamanan dunia.
Bagi saya, ketika membaca sejarah bagaimana idea senjata atom ini boleh keluar mempunyai pelbagai pengajaran menarik yang boleh diambil. Namun, idea utama penulisan saya kali ini adalah bagaimana idea ini boleh muncul dan beliau telah mempengaruhi kerajaan dan pekerja2 untuk menjayakan projek ini atas nama kesejahteraan dunia.

Mana-mana perjuangan yang ingin berjaya mencapai matlamat perjuangan mereka mesti menuntut pengorbanan dari anggota mereka. Mereka bekerja siang dan malam sehingga terpaksa kurang tidur, makan tidak terurus dan menempuh tekanan demi tekanan demi memastikan segala gerak kerja selari dengan perancangan dan tempoh yang diletakkan. Meninggalkan rasa malas, penat dan berfikir dalam kerangka diri sendiri sahaja....
أجدر الناس بالكرامة: عبد تلفت نفسه ليسلم دينه
"Manusia yang paling berhak mendapat penghormatan: manusia yang dirinya hancur binasa agar agamanya selamat sejahtera" (Walid al-Azoma)
Itulah tabiat kehidupan ini. Para pendakwah lebih berhak membawa mesej ini kerana Risalah Langit yang ada di tangan mereka. Rasulullah s.a.w sendiri terpaksa dihina, diseksa, dimalukan dan diperangi kaumnya sendiri bahkan kehidupan baginda selama 23 tahun yang dipenuhi dengan darah dan air mata hanya semata2 supaya umatnya selamat dari menjadi bakaran api neraka nanti. Biar diri merana agar orang lain bahagia. Mesej kasih sayang dan rahmat untuk seluruh dunia!
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman" (Surah Taubah:128)
Kita yang mendakwa kita diri kita sebagai pendokong Islam, adakah kita sanggup "hidup untuk orang lain"?

Tuesday, December 20

The Daily Grind of Hard Work Gets a Person Polished

Siri Nota untuk Para Mujahid (4)

Sewaktu latihan kecergasan dalam Perang Afghanistan- Soviet pada 80an, arahan kepada tentera Mujahidin adalah berlari mengelilingi padang sampai had kemampuan masing-masing. Ketika semua orang telah berhenti kerana kepenatan, masih kelihatan seorang masih berlari di atas padang tanpa henti. Dia hanya berhenti disebabkan pengsan. Selepas tersedar dari pengsan, orang bertanya kenapa engkau seksa diri? bukankah arahan supaya sampai kemampuan masing2 sahaja?

Jawapan beliau:
"kemampuan aku bila seluruh tenaga aku habis. Itulah kemampuan aku!

Beliau adalah as-Syahid Abdullah Azzam. Bagaimanapula kemampuan kita yang disumbangkan untuk agama Allah ini?



~kredit pada Akhi Faisal Kamarul Zaman atas video yang sangat2 menyentuh hati :(

Saturday, December 10

Mentaliti Penjajah

Siri Nota untuk Para Mujahid (3)

“It is more agreeable to have the power to give than to receive.”
(Sir Winston Churchill)

Itulah pegangan Perdana Menteri British yang memimpin negaranya menuju kejayaan dalam Perang Dunia Kedua pada 1945. Falsafah inilah yang difahami dalam pemikiran orang-orang British ketika zaman kolonial. Mereka sentiasa berusaha untuk menjadi “TUAN” di mana-mana negara yang mereka jajahi.

Dalam erti kata lain, orang putih tidak merancang sesuatu melainkan mereka merancang untuk menguasai orang lain. Hal ini membuatkan mereka terpaksa berfikir besar dan bersungguh-sungguh keluar dari kepulauan Inggeris beribu-ribu batu jauhnya untuk cita-cita tersebut. Akhirnya Inggeris menjadi kuasa besar paling maju dan kuat pada era kolonial dahulu. Falsafah inilah yang melahirkan negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan, Perancis dan Amerika Syarikat.

Satu persoalan, berapa ramai dalam kalangan kita memiliki cara fikir sebegitu? Kita lebih rela dengan menjadi pengikut. Lebih gemar mengelak tekanan, selesa dengan apa-apa yang ada dan malas berfikir jauh ke hadapan. Penyakit paling bahaya ialah cukup ala kadar.

Benchmark yang kita letak pada diri kita terlalu rendah. Hal ini menyebabkan kita tidak menunjukkan kesungguhan dalam tindakan kita. Cara kita belajar ala kadar, markah peperiksaan cukup-cukup makan. Study pun last-minute. Dakwah kita juga begitu, kita lebih selesa dengan persekitaran kita. Tidak suka meneroka pengalaman baru. Perancangan dan idea kita pun ala kadar. Apa yang lebih merbahaya adalah tarbiah yang kita ikut juga begitu. Amat malang sekali jika hanya sebelah pihak sahaja yang menepuk tangan dalam pembinaan diri kita.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Maidah ayat 50:
Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki? (Hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang meyakini (agamanya)?
Tuan sebenar adalah Allah s.w.t. Namun hari ini, realiti dunia yang kita duduki tidak bertuankan-Nya. Kerja kita hari ini ialah kita mestilah mengembalikan ketuanan itu kepada Allah s.w.t. Allah tidak mewakilkan kita di atas muka bumi ini untuk membiarkan urusan kita diatur mereka.

Kita dicipta untuk memimpin dunia bukan mengikut!

Wednesday, December 7

Bila sudah jatuh hati: 1 message received

Siri Nota untuk Para Mujahid (2)

"1 message received” tertera di handphone murah 2nd hand saya. Tak lama pastu, masuk lagi “message”. Saya pun membuka dan memerhatikan satu persatu isi kandungan sms. Bila dibuka inbox email dan FB, lebih kurang perkara yang sama yang saya terima daripada rakan-rakan saya dari Mesir dan luar negara sendiri. Belum campur panggilan telefon dan lain2 yang saya hadapi.



“Ustaz, hati saya dah kering. Baca Quran pun tak rasa apa-apa. Solat pun tak khusyuk. Tolong saya ustaz”.

“Saya rasa saya tak layak untuk dakwah ini. Saya takut bila grad dan kerja nanti ustaz. Sekarang teori boleh la. Kalau ikhwah tak jaga saya, saya confirm saya hanyut dengan kerjaya!”

“Dakwah kita sekarang terlalu sibuk. Saya tidak boleh tidur malam memikirkan perkara ni. Hubungan dengan ikhwah dah macam syarikat. Kering. Kering. Kering. Adakah ikhwah masih lagi ikhwah?

“Urusan perkahwinan saya bermasalah ustaz. Saya rasa macam ditipu je oleh ikhwah!”

“Ustaz, bagaimana kita hendak pastikan suasana ruhi dan ukhawi dalam meeting dan pengurusan dakwah kita ya? Sekarang suasana kering-kering je. Semua bekerja nak mengejar2. Rindu saat basah-basah dahulu. Ada ke zaman Hasan al-banna istilah kering-basah?”

“Geram saya tengok ikhwah di kawasan saya. Semua benda tak jalan. Takkan semua benda saya nak buat dan saya yang nak mulakan. Penatlah saya!"

"Saya rasa kami dianak-tirikan oleh pimpinan. Terkontang-kanting kami kat sini. Tolonglah! Tolonglah!"
Dan bermacam-macam lagi CURHAT (curahan hati, istilah pendakwah Indonesia) yang saya hadapi akhir-akhir ini. Semoga Allah memberi saya kekuatan untuk terus mendengar dan membantu permasalahan yang dihadapi pendakwah-pendakwah muda yang bersemangat untuk terlibat di dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah di dunia ini. Terima kasih kerana sudi berkongsi.

Pelbagai luahan yang bercampur-campur emosi. Marah, sedih, linangan air mata, tekanan dan meninggi suara yang lahir daripada mereka. Kadang-kadang berdesing juga telinga ni. InsyaAllah, teruskan begini sahabat-sahabatku. Itu petanda bahawa hati kita semua masih hidup. Amin. Hati yang faham dan nampak kekurangan untuk menuju ke arah lebih baik. Beginilah bila anda sudah jatuh hati pada dakwah ini. Beruntunglah anda semua!

Sepanjang pengalaman saya yang cetek atas Jalan Dakwah ini dan melihat teman2 dan senior2 saya yang saya perhatikan keaktifan mereka, idealisme seorang mahasiswa dalam membawa cita-cita dan harapan sangat penting. Hal ini yang menjadikan mereka inginkan kesempurnaan dan kepuasan dalam sesuatu perkara. Lonjakan ini sangat penting kerana ia antara faktor yang menjaga konsisten atau tidak kita dalam beramal.

Saya amat susah hati jika melihat ramai mahasiswa/mahasiswi generasi Muda ini yang terlalu cepat menjadi Syeikh (orang tua) sebelum tiba masanya. Lebih selesa duduk di rumah dan hanya bergerak bila diperlukan. Seronok ke jadi orang tua ya?

Matlamat apa yang kita nak raih?
Saya amat minat bersukan. Saya amat mengagumi Lionel Messi, ThieryHenry dan Nicol Ann David. Mereka berjaya mendapat pelbagai gelaran bertara dunia dan merangkul bermacam2 kejuaraan yang berprestij. Matlamat mereka jelas dan mereka benar2 berusaha sedaya upaya dlm menjayakan cita-cita tersebut. Perkara ini perlu dicontohi kita dalam amal dakwah yang kita lakukan seharian. Namun, satu perkara yang perlu diingat dan diulang sentiasa. Dalam semua kerja-kerja dan jerih payah yang kita lakukan, kembalikan urusan tersebut pada Allah. Pokok dakwah kita adalah Allah s.w.t, Allah s.w.t, Allah s.w.t. Tiada yang lain. Mengajak kawan-kawan dan di dalam masa yang sama menanam di dalam diri kita hakikat ketundukan kita kepada Allah. Kita bekerja atas jalan dakwah ini untuk meraih kemenangan dalam perjuangan. Ya, Kemenangan! Kemenangan!

Pasukan Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas acara bola sepak dalam Sukan SEA di Indonesia baru2 ni. Saya orang Shah Alam dan peminat pasukan bola sepak Selangor. Terkenang zaman 90an dulu ketika Selangor yang terkenal sebagai The Red Giants membolot 3 Kejuaraan Piala Malaysia berturut2 pada 1995,1996 dan 1997. Bandar Shah Alam akan sesak dan bising kerana berpusu-pusu penyokong memenuhi Stadium Shah Alam. Nama2 seperti Mehmet Durokovic, Zainal Abidin Hasan, Rusdi Suparman dan Christopher Kiwomya masih segar dalam ingatan. Tak lama selepas itu, arena bola sepak negara kembali sunyi dengan permainan hambar pemain2 liga tempatan dan terlalu banyak tangan politik di dalam bola sepak tempatan. Hatta saya sendiri dah malas nak ambil tahu dan mengutuk2 setiap kali Malaysia beraksi. Namun, sejak 2009 saya kembali mengikuti semula pasukan Harimau Muda yang berjaya menunjukkan aksi yang benar2 memukau!

Namun, definisi kemenangan bagi kita berbeza dengan kefahaman kemenangan orang lain. Kemenangan yang diajar oleh para Nabi dan sahabat. Kemenangan kita dijelaskan Syed Qutb:
Kemenangan yang paling bernilai di sisi Allah ialah kemenangan jiwa atas materialistik, kemenangan akidah menghadapi sakit dan sengsara, kemenangan iman menempuh badai fitnah. Di dalam kisah pembunuhan beramai-ramai di dalam Ashabul Ukhdud (walapun secara kasar ia menunjukkan kekalahan Islam dan kemenangan Musuh-musuh Islam), nyata sekali kemenangan orang-orang beriman itu mengalahkan perasaan takut dan sakit; kemenangan mengatasi godaan-godaan duniawi, kemenangan menghadapi fitnah, kemenangan kehormatan umat manusia di sepanjang zaman. Inilah kemenangan sejati! (Maalim Fit Toriq)
Ya, itulah erti kemenangan yang hakiki. Kemenangan dalaman yang amat tinggi nilainya. Bila kita memahami perkara ini dengan baik. Maka kita akan berusaha sedaya upaya memelihara diri kita daripada menjadi bakaran api neraka. Kita akan melawan supaya hati kita tidak rosak. Mengelakkan jiwa kita daripada dirosakkan oleh pandangan wanita, masa kosong yang tidak bermanfaat dan hari-hari yang lesu.
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan (Surah Tahrim:6)
Sedikit persoalan
Kita ambil sedikit masa sebentar...tanya soalan2 ini pada diri kita dan jawab dengan jujur tanpa perlu menghalakan pada orang lain. Dalam kesibukan dakwah kita seharian....
  • Bilakah masa terbaik yang kita berikan untuk membaca al-Quran?
  • Berapa lama mata kita tidak mengalirkan airmata kerana mengenang dosa kita?
  • Adakah kita merasa berat untuk menadah tangan selepas solat?
  • Sudah berapa lama dahi kita tidak diletakkan di atas sejadah pada waktu malam ketika manusia lain nyenyak tidur?
  • Apa yang kita lakukan ketika mendengar seruan azan?
Sudah ada jawapan? Simpanlah dan jadikan ia rahsia antara kita dengan Allah s.w.t. Junaid al-Baghdadi sewaktu ditanya: Mengapa aku merasa manusia menjauhkan diri daripada dakwahku? Beliau menjawab:
Lihatlah apa yang bercampur baur di dalam hati mu.
Syeikh Ahmad ar-Rasyid berpesan pada pendakwah:
Setiap dakwah yang mahu istiqamah dalam jalannya menuju Allah, hendaklah melangkah melalui istiqamah. Istiqamah pintunya ialah mihrab (ar-Raqaiq)
Takutlah kita semua akan hadis yang diungkapkan oleh Rasulullah s.a.w ini:
"Sesungguhnya aku mengenali segolongan manusia dari umatku yang akan datang pada hari Kiamat dengan kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih lalu Allah menjadikannya debu-debu yang berterbangan. Mereka merupakan saudara-saudara kamu dari bangsa kamu sendiri, mengerjakan ibadah di malam hari seperti kamu juga, TETAPI mereka adalah golongan yang apabila bersendirian mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang diharamkan. (Riwayat Ibnu Majah)
Berpijak di bumi nyata....
Saya akan berkongsi sedikit tips yang saya kutip atas perjalanan ini daripada para Murobbi yang menunjukkan teladan terbaik atas Jalan ini:
1. lakukan amalan harian (bacaan al-Quran, solat sunat, qiamullail, zikir dan lain2) sehingga Allah s.w.t merasa kasihan melihat amalan kita. Inilah yang ditanam pada generasi awal ketika Qiamullail diwajibkan.

2. pilihlah masa yang paling terbaik dalam hari kita untuk duduk membaca al-Quran, menghayati dan memikirkan makna-maknanya. Masalah kita adalah kita membaca al-Quran untuk dihabiskan semata-mata

3. Keluarlah bersusah-payah menyampaikan kebaikan. Berkenalan dengan orang-orang baru samada bangsa sendiri atau bangsa asing spt Arab, Inggeris dan lain2. Rajinkan mulut bersembang dan tutuplah pertemuan tersebut dengan hadiah daripada hadis Nabi s.a.w atau ayat Quran.

4. Beramal dalam lapangan masing-masing dengan penuh bersungguh-sungguh. Curahkan kreativiti dan tenaga kita secara optimum. Bekerja seolah-olah Hari Kiamat esok hari. Bekerja sehingga kita tertidur dalam kerja2 kita.

5. Kita sangat takut untuk berkata, “Saya yang buat ini”… “ Saya dah habiskan banyak duit saya”… “Saya dah korbankan macam-macam…” dan “Saya…saya…saya…”. Bila kita buang perkataan ini pasti kita akan rasa kerehatan dan ketenangan yang mendamaikan dalam kehidupan kita.
Dengan ini, jika gabungan (Roh yang hidup + Dakwah/Tarbiyah yang bersungguh) ini dilakukan, nescaya kita akan dapati pelbagai idea datang mencurah2, pelbagai jalan keluar untuk masalah kita dan bermacam-macam penyelesaian datang daripada arah yang tidak disangka2!
Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya dijadikan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Dia (Allah) akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. (Surah at-Tolaq:2-3)
Asas Kerajaan Nabi Daud a.s
Nabi Daud a.s sentiasa bertasbih pada waktu petang dan pada waktu pagi ketika terbit matahari, lalu Allah swt mempermudahkan gunung-ganang sehingga dapat bertasbih bersama-sama baginda. Allah swt berfirman dalam surah Sod ayat 18-20:
إِنَّا سَخَّرْنَا الْجِبَالَ مَعَهُ يُسَبِّحْنَ بِالْعَشِيِّ وَالإْشْرَاقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah mudahkan gunung-ganang turut bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya; pada waktu petang dan ketika terbit matahari.”
Lalu Allah swt mengurniakan kepada baginda suatu kurniaan yang amat besar yang difirmankan oleh Allah selepas itu:
وَشَدَدْنَا مُلْكَهُ
Maksudnya: “Dan Kami kuatkan kerajaannya…”
Sesuatu dakwah yang mendakwa dirinya sebagai dakwah Islam tidak akan teguh kekuasaannya dan akan dapat dikalahkan jika para pendokongnya tidak melakukan tasbih pada waktu petang dan pada waktu pagi (ketika terbit matahari).

Lagu Kedamaian Seorang Mukmin
Biarlah kata-kata As-Syahid Sayyid Qutb menutup tulisan ini, mengambarkan betapa damai dan rileksnya jiwa orang beriman setelah memahami tabiat sebenar perjuangan dakwah dan tarbiyah mereka:
Sesungguhnya lapangan perjuangan bukanlah terhad di dunia dan bumi ini sahaja. Para saksi terhadap perjuanganmu dan jerih payah mu bukanlah hanya umat mahusia yang hidupnya terbatas dalam lingkungan generasi tertentu sahaja. Para malaikat dan penghuni langit pun sebenarnya pun menyaksikan setiap aktiviti-aktiviti kehidupan dunia, mereka menjadi saksi atas segala kejadian dan aktiviti itu, juga peranan membuat perhitungan dan statistik mengenai nilai kejadian itu. Para malaikat penghuni langit bertugas menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk orang beriman berlipat ganda lebih baik daripada ruangan dan tempat tinggal yang dapat dibuat oleh penduduk bumi. Dan adalah pujian dan markah yang, diberi oleh para malaikat penghuni langit itu lebih bernilai daripada pujian seluruh penghuni dunia ini.Kerana di sana, akhirat jualah tempat kesudahannya! (Bab Inilah Jalannya)
Saat-saat akhir sebelum as-Syahid Sayyid Qutb dibawa ke tali gantung. Berjalan mendapatkan rindu kekasihnya. Setelah bertahun-tahun diseksa di dalam penjara. Masa yang dinanti telah tiba. Selamat Tinggal Dunia yang penuh pancaroba dan ujian yang tidak pernah padam. Selamat tinggal hai dunia yang penuh melalaikan!

~baru-baru ni, baru saya faham kenapa as-Syahid Sayyid Qutb begitu tenang menyerahkan lehernya di tali gantung.....biarpun beliau diberi peluang dibebaskan daripada hukuman tersebut, tetapi beliau tetap menolak!

Wednesday, July 6

Tubuh Ahli Politik

Siri Nota untuk Para Mujahid (1)

Barrack Obama dianggap sebagai Presiden Amerika Syarikat yang paling cergas pernah dipilih. Beliau mengakuinya sendiri semasa siri kempennya menuju ke White House. Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat sihat, menjaga pemakanan dan bersenam secara rutin. Obama mempunyai fizikal pelari jarak jauh, tangkas dan pantas. Ahli bina badan dan pelakon terkenal, Arnold Schwarzenegger adalah salah seorang peminat setianya.

“I tend to be a healthy eater. So I probably could get away with cutting my workouts back a little bit. The main reason I do it is just to clear my head and relieve me of stress. It’s a great way to stay focused.”
(Barrack Obama, Road to White House 2008)


Apakah rahsia Obama?
Obama berlari setiap hari. Jantung yang sihat memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan tubuh badannya yang ramping dan tegap. Obama tidak mempunyai otot yang pejal sasa dan juga tiada lebihan lemak. Beliau akan berlari seboleh-bolehnya lebih empat kilometer sehari. Bintang bola keranjang ketika di sekolah di Punuo School, Hawaii ini telah menjadikannya pantas berfikir dengan kakinya dan mampu menukar sebarang serangan menjadi potensi dan peluang yang besar.

Tugas sebagai seorang ahli politik sangat melelahkan. Ke sana ke sini memenuhi undangan dan agenda. Mereka sangat memerlukan tubuh yang sihat dan stamina yang tinggi untuk memberikan hasil yang terbaik dalam karier mereka.

Pendakwah lebih-lebih lagi perlu jauh lagi baik daripada Presiden Amerika Syarikat ini. Mereka adalah penjunjung Risalah Langit. Mana mungkin kita ingin bercakap tentang penguasaan dunia (New World Order) dan mengembalikannya kepada Islam sedangkan badan kita seringkali sakit dan tidak bermaya.?

Hari ni berapa ramai pendakwah muda pancit lebih awal. Badan kita juga menjadi bahan ketawa musuh-musuh kita. Samada kurus atau gemuk, itu bukan isunya. Isunya, cepat letih dan sering sakit. Hakikatnya, peristiwa dan pelbagai isu yang timbul di Malaysia memaksa pendakwah supaya bekerja lebih keras mendepaninya. Bila badan cepat penat, maka idea dan kerja2 kita akan kurang kualitinya. Saya sendiri sudah lama tidak bersenam secara konsisten sejak pembedahan kaki tahun lepas. Jika ia berterusan, sudah pasti saya akan tergolong dalam golongan pancit awal. Na'uzubillah

Sabda Nabi s.a.w:
"Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disayangi Allah daripada mukmin yang lemah". (Riwayat Muslim)
Jika ini sikap orang nombor satu dunia hari ini, bagaimana pula kita?