Showing posts with label Malaysia Cintaku. Show all posts
Showing posts with label Malaysia Cintaku. Show all posts

Thursday, January 19

DAP: Parti Orang Celaru

Semalam beberapa jam sebelum memasuki dewan peperiksaan, teman serumah saya memberitahu berita ramai orang Melayu Islam mula menjadi ahli DAP (Democratic Action Party) yang merupakan serpihan PAP (People Action Party) yang dipimpin Lee Kuan Yew selepas terkeluarnya Singapura dari Persekutuan Malaysia pada 1965. Parti secara jelas dan teguh dengan prinsip mereka menyatakan bahawa : DAP tidak menggunakan atau mempergunakan mana-mana agama dalam dasar politiknya. Baca di sini. Kali ni seorang lulusan agama dari UM!!



Hati saya menjerit:
Ini sudah lebih! Ini celaru! Ini mengarut sangat dah!
Saya tak boleh dah tahan melihat kes demi kes yang menggadai prinsip Islam yang berlaku hari demi hari di Malaysia. Lepas satu, datang satu lagi...
"Bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)". (Surah Munafiqun: 9)
Saya sebagai penuntut Pengajian Islam di Universiti al-Azhar hanya mampu mengucapkan: Inna lillah wa inna ilaihi rojiun ( Kita semua milik Allah dan kepada-Nya kita kembali) bila melihat "Ustaz" ni. Matlamat hidup seorang muslim adalah ubudiyah (ketundukan) total kepada Allah. Mengembalikan hakimiah (Pemilik Kuasa) kepada Allah sebagai al-Hakim (Penggubal Kuasa) yang SATU dan MUTLAK dalam dunia ni. Bagaimana hakimiah Allah boleh tertegak dengan berjuang bersama DAP?! Apakah tiada wadah atau parti Islam lain untuk menegakkan Agama?
Haji Azhari bin Ismail merupakan seorang veteran DAP, mempunyai lulusan Pengajian Syariah dan pernah bertanding menentang bekas Menteri Kesihatan MCA Datuk Chua Jui Meng pada PRU 2004 di Parlimen Bakri, Johor. Kini beliau bergiat aktif membantu warga bandaraya di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bukit Bintang. Ikuti wawancara bersama beliau di sini

Seorang Muslim itu sifatnya apabila lonjakan iman di dalam dirinya bertembung dengan kebatilan yang jelas dan sesat, maka mereka akan melakukan hal yang sama seperti:

1) Muslim yang menyembunyikan imannya ketika mendengar kedegilan Firaun menerima dakwah Nabi Musa lalu dengan beraninya berkata
Dan seorang lelaki yang beriman antara pengikut Firaun, yang menyembunyikan imannya, berkata: "Apakah kamu akan membunuh seorang lelaki kerana dia mengatakan: Tuhanku ialah Allah,’ padahal dia telah datang kepadamu dengan keterangan daripada Tuhanmu? Dan jika dia seorang pendusta, maka atasnya kedustaannya itu, dan jika dia yang benar, nescaya akan menimpa kamu sebahagian daripada apa yang diancamkannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak membimbing orang yang melampaui batas lagi pendusta. Wahai kaumku! Bagi kamu kerajaan pada hari ini, berkuasa di bumi. Maka siapakah yang akan menolong kita daripada seksaan Allah jika ia datang kepada kita?" (Surah Ghafir:28-29)
2) Muslim yang berlari dari hujung bandar menyeru penduduknya menyahut seruan 3 orang utusan Allah bila sahaja mendengar kaumnya mendustakan mereka.
"Datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku! Ikutlah Rasul-rasul itu.

Ikutlah orang-orang yang tidak meminta daripada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat petunjuk.

Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima seruan mereka? Maka jawabnya): Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan aku, dan yang kepada-Nyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?

Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.

Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.

Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)". (Surah Yasin:21-25)
Bilamana seorang Muslim berijtihad dalam hidupnya berpandukan nas yang qatie (dalil yang disepakati Ulama' spt Quran, hadis, ijmak ulama' dan qias) dan nas yang zonni (dalil yg tak disepakati spt istihsan, masolehul mursalah etc) saya boleh menerimanya dan saya berlapang dada dengan mana2 gerakan Islam termasuk PAS yg bertindak begitu dalam tahaluf siasi mereka (dengan penuh berhati2 dan dasar nasihat atas Agama). Semoga Allah memberi anda pahala atas ijtihad tersebut. Tetapi bila seorang Muslim hanya berpandukan akal & logik dan menggunakan nas2 syarak selepas itu bagi menghalalkan tindakannya, sebagai seorang Muslim saya tidak boleh menerimanya. Akhir kata, tolak orang Islam yang masuk DAP.
"Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik (kebenaran) adalah seperti sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit". (Surah Ibrahim:24)
Ustaz Syed Qutb memberikan komentar beliau mengenai ayat di atas:
Sesungguhnya kalimah yang batil seperti pohon yang buruk. Kelihatan hidup, besar dan menarik. Lalu sebahagian manusia menyangka bahawa pohon ini lebih besar daripada pohon yang baik bahkan lebih kuat. Tetapi hakikatnya ia masih rapuh biarpun terus berakar umbi di dalam tanah. Ia hanya menanti ketika sebelum tercabut dari bumi kerana tidak stabil dan tidak kekal (Fi Zilal Surah Ibrahim)
Seorang lagi Melayu Islam yang memilih untuk menegakkan "keadilan Islam" yang difahaminya bersama DAP. Bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Mohd Hata Wahari menjadi orang Melayu terbaru yang menyertai DAP. Awal bulan ini, penulis blog Sakmongkol AK47 yang juga bekas ADUN Pulau Manis dari Umno, Mohd Ariff Sabri Aziz juga menyertai parti itu. Selain Sakmongkol yang merupakan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan sehingga tahun 2004, turut dikatakan berbuat demikian ialah seorang lagi penulis blog Umno dan veteran parti itu, Aspan Alias.

Cara Fikir Masa Kini
Saya melihat trend sekarang dalam politik Malaysia adalah tumbangkan "kezaliman" bagi definisi mereka & apa kesudahan atau natijah selepas itu, itu cerita lain & lain kali punye citer.

Fikh mengenai mengenai tumbangkan kezaliman dengan apa jua cara tanpa memikirkan secara serius natijah apa yang bakal terjadi pada masa depan Islam dan umatnya masih dalam kajian saya. Masih mencari istidlal syarie (nas2 syarak) dan fikh ulama' dalam bab ini.

Disebabkan fikh ini yang berleluasa di kalangan umat Islam di Malaysia, bagi saya ia antara faktor mengapa orang Islam melihat tiada masalah menegakkan kebenaran bersama DAP!

Pegangan Saya setakat ini

Namun, saya masih belum mejumpai istidlal (dalil2 syarak) yang membuat saya tenang. Oleh itu, sehingga hari ini pegangan saya adalah seperti yang dijelaskan As-Syahid Syed Qutb di dalam tulisan beliau, Maalim fi Toriq:
Barangkali ada pula orang berkata: Bahawa Nabi Muhammad SAW boleh menjalankan dakwah reformasi untuk memperbaiki keadaan masyarakat supaya dapat meninggikan tingkatan moral dan membetulkan sendi-sendi perjalanan masyarakat itu serta kemurnian jiwa para anggotanya.

Orang lain pula mungkin berkata: Bahawa pada ketika itu Rasulullah boleh mendapatkan beberapa orang tertentu yang telah dirosakkan oleh masyarakat itu, lalu membimbing mereka menyahut seruan reformasi itu, seperti yang kerap dilakukan oleh tokoh-tokoh reformasi lainnya.

Mungkin ada pula pendapat lain yang mengatakan kalaulah Rasulullah SAW berbuat seperti itu nescaya beliau akan disambut dan disanjung oleh sebahagian besar orang yang masih suci moral dan jiwanya, dan dengan demikian itu tambah mendekatkan penerimaan seruan akidah yang dipeloporinya daripada dicetuskan seruan LA ILAAHA ILLALLAH itu, yang ternyata telah mendapat tentangan hebat sejak dari mula lagi.

Tetapi Allah SWT Maha Mengetahui bahawa itu bukanlah jalannya. Maha Mengetahui bahawa moral dan akhlak yang baik itu tidak akan dapat tegak melainkan di atas asas akidah yang membuat pertimbangan-pertimbangan, dan menetapkan nilai-nilai, seperti juga akidah itulah menetapkan kuasa yang menjadi tempat tegaknya pertimbangan dan nilai itu, dan balasan atau ganjaran yang dimiliki oleh setiap kuasa itu ke atas orang yang patuh atau melanggarnya.

Sebelum akidah itu diterapkan dan sebelum kuasa itu ditegakkan, maka nilai-nilai itu menjadi goyang dan tak tetap. Begitu jugalah moral dan akhlak yang didirikan di atas nilai-nilai yang goyang akan menjadi goncang dan rapuh; tiada panduan, tiada ganjaran dan tiada kuasa apa pun.

Friday, October 21

HIMPUN: Harapan itu masih ada..Yakinlah!

Saya terdetik untuk menulis di pagi hari ini. 22/10/2011. Tarikh bersejarah umat Islam di Malaysia buat pertama kali menolak ke tepi segala perbezaan ideologi, warna kulit dan logo masing-masing berhimpun atas satu perkara yang sama yang Allah s.w.t menjadikan kita semua sebagai satu keluarga yang besar…ikatan akidah. Saya doakan perhimpunan ini berjaya mencapai objektif dan diredhai Allah s.w.t. Apa2 pun berjaya atau tidak sasaran bilangan, yang penting kita sudah berusaha dan menyampaikan mesej kita.

Benarlah tulisan as-Syahid Syed Qutb di dalam buku beliau, Ma’alim Fi Toriq:
"Negara bagi setiap Muslim itu bukanlah sekadar tanah dan air tetapi "Islam", negara mana di dalamnya berdaulat akidah Islam dan berkuasa di dalamnya syariat Allah sahaja, negara di mana setiap orang Muslim menumpahkan taat setianya dan sanggup mempertahankannya, rela mati bermandi darah dan gugur syahid untuk mempertahankan negara itu dari segala ancaman dan pencerobohan dan untuk melebarkan lagi sayapnya mendaulatkan syariat Allah di seluruh pelosok dunia. Itulah Negara Islam bagi setiap orang yang menghayati Islam sebagai akidah dan syariat, juga bagi setiap orang yang rela dan patuh menerima syariat Islam menjadi undang-undang negara”.
(Petikan bab Kerakyatan seorang Muslim adalah Akidahnya)
Walaupun saya jauh dari tanah air, saya mengikuti rapat usaha2 HIMPUN ini yang pada awal projek ini, fanpage hanya 100 orang sahaja yang ‘like’ hinggalah ke saat ini sokongan mencecah lebih 1000 NGO yang akan turut serta. Saya tidak ingin menyentuh tentang berapa ramai yang hadir pada hari HIMPUN ini, adakah berjaya sejuta orang atau tidak. Tetapi sudut berbeza yang saya nampak peluang, ruang dan potensi lebih besar untuk digembleng ke arahnya… Membangun Ummah Beragenda.

Rasa gembira bercampur baur dengan rasa terharu melihat promosi dan kenyataan demi kenyataan oleh pimpinan politik, badan bukan kerajaan, gerakan mahasiswa dan keluarga terdekat yang satu nada menjulang isu yang sama “Selamatkan Akidah!”. Hatta nasyid tema oleh Munsyid Malaysia sangat menyetuh hati saya. Buat seketika media massa sunyi sebentar daripada cerita2 sensasi, fitnah-memfitnah dan memburuk-burukkan satu sama lain. Tahniah kepada anda semua!

Kalau tak silap saya, kali terakhir lagu yang digubah untuk isu umat Islam oleh gabungan PENASYID adalah lagu "Keamanan" dan "A Street in Kosovo" pada 1999. Bahkan Almarhum Ust. Fadzil Noor pernah duduk sepentas dengan Tun Dr. Mahathir atas isu Palestin pada Syarahan Perdana Isu Palestin anjuran ABIM dan DBP pada 8 Mei 2002.

Saya petik tulisan Sheikh Ahmad al-Rasyid dalam buku beliau, al-Masar:
Sesungguhnya kebaikan masih banyak dalam masyarakat kita. Keperluan gerak kerja kita pada hari ini adalah ke arah:
1. Cita-cita besar yang menyedarkan orang2 yang tidur dan membangunkan orang2 yang duduk
2. Kesedaran yang membuka mata orang yang mengikut membabi buta
3. Keberanian yang merangsang orang2 yang takut
4. Rasa rendah diri yang mengembalikan orang2 yang terkeluar kembali bersatu
Beliau turut menyatakan kerugian yang mungkin dialami pendakwah:
“Sesungguhnya pada generasi hari ini, kita lihat pada mereka masih banyak lagi unsur-unsur kebaikan. Jika kita berlengah-lengah dan banyak membuang masa maka penglibatan mereka dalam projek-projek kita akan sedikit dan kita akan melahirkan generasi yang jauh dari Islam”.

Pemuda adalah tempoh paling penting dalam kehidupan seorang manusia. (Rujuk tulisan saya dahulu). Budaya berkahwin awal sudah sinonim di kalangan mahasiswa/mahasiswi di Mesir. Saya juga tidak terlepas terkena bahangnya. Hinggakan kawan2 di tanah air bergurau, “Aku tengok kalau nak kahwin awal, kena pergi belajar di Mesir. Tapi aku peliklah. Kau ni ketara sangat lawan arus. Umur kau tu bukan umur budak habis SPM. Dah boleh sambut Jubli Perak tau!”. Saya hanya tersenyum mendengar usikan beliau.

Post pertama saya tentang perkahwinan, Sayang, Ikatan Kita Ikatan Wafa’ telah mencatat kenaikan mendadak terhadap pengunjung blog saya. 7 kali ganda daripada angka pelawat yang biasa. Hingga ke saat ini post ini sahaja yang konsisten bertambah pembacanya dari masa ke semasa berbanding posting2 saya yang lain. Kenapa ya?

Terkenang pada tahun 2009 dahulu, ketika saya diziarahi guru saya di rumah. Saya bertanya padanya: Kawan2 saya di kuliah sedang sibuk membahaskan perkahwinan di alam belajar. Masing2 memberi respon dari segi kesan positif dan negatif. Apa pendapat guru?

Guruku terdiam sebentar seolah2 sedang menyusun ayat. Kemudian dengan wajah tersenyum, beliau menjawab:
“Hai anakku, setiap manusia akan sibuk dengan apa yang mereka jadikan agenda. Jika itu agenda yang ingin mereka capai, segala tumpuan dan tenaga akan ke situ. Alangkah indahnya, jika agenda mereka itu menegakkan kalimah Allah, pasti segala kesibukan hatta perkahwinan sekalipun neracanya adalah mendaulatkan kalimah Allah”.
Terima kasih sang Guru atas nasihatmu. Akan ku pegang sepanjang hayat. Gerakkan dan pupukan kesedaran masyarakat kita akan agenda sebenar hidup mereka. Ayuh teman, kita Membangun Umat Beragenda!

Monday, October 3

Syariah Islam yang Saya Fahami

Isu hudud kembali bergema. Sejak saya kecil lagi, selalunya ia dibangkitkan ketika hampir dengan musim pilihanraya. Entah kenapa hukum Allah ini boleh menjadi laba politik parti-parti politik tertentu, saya pun tak pasti. Cuma saya merasa terpanggil untuk menerangkan secara ringkas dan padat supaya golongan bukan ahli agama (keluarga saya dan masyarakat am) dapat memahami isu sebenar dan berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Alhamdulillah. Rakyat Malaysia sekarang mula bercakap tentang penegakkan syariah di Malaysia. Perbincangan secara ilmiah jauh daripada blok kepartian sempit dan kepentingan peribadi akan membuahkan kefahaman yang sebenar terhadap permasalahan penegakkan syariah di Malaysia. Setiap orang hanya perlu mengemukakan dalil masing2 dan tidak sekali2 bercakap tanpa dasar ilmu sebagai prinsip dan disiplin dalam tuntutan ilmu.

Saya secara umum gembira dengan kenyataan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz untuk Kelantan menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993. Walaupun berdepan dengan polemik politik dan undang-undang tersebut tidak mungkin dilaksanakan kecuali dengan pindaan pada Perlembagaan Negara, ketegasan beliau sangat dihormati. Itulah tuntutan dan tanggungjawab tuan guru sebagai seorang muslim yang faham akan tuntutan kalimah syahadah yang diungkapkannya sebelum berjumpa dengan Allah s.w.t. Beliau menjadi idola saya sebelum Reformasi 1998 lagi.

Namun begitu, bagi saya penegakkan syariah di Malaysia ataupun di dunia suatu hari nanti bukan sekadar perlaksanaan undang-undang hudud. Tetapi syariah membawa maksud yang lebih besar daripada itu. Dalam banyak2 tasiran ulama' tentang pengertian syariah, saya lebih suka mengambil definisi mudah dan ringkas yang diungkapkan Almarhum As-Syahid Syed Qutb r.a, seorang ilmuan Islam Mesir:
"Syariat Allah itu bermaksud segala sesuatu yang telah diatur oleh Allah untuk mengurus hidup umat manusia. Ini merangkumi dasar kepercayaan dan pegangan manusia, dasar sebuah pemerintahan, dasar mengenai moral dan tatasusila dan juga dasar mengenai ilmu pengetahuan merangkumi pemikiran dan kesenian. ia merangkumi soal hakikat ketuhanan, hakikat alam seluruhnya (baik yang ghaib mahupun yang nyata), hakikat kehidupan (baik yang ghaib mahupun yang nyata), dan juga hakikat manusia itu sendiri serta hakikat pertalian segalanya itu dengan manusia" (Petunjuk Sepanjang Jalan).
Oleh itu, syariah merangkumi:
1) kepercayaan dan pegangan manusia kepada Allah s.w.t
2) apa jua bentuk politik, sosial dan ekonomi dan dasar-dasar bagi semuanya itu; supaya terlaksanalah "pengabdian yang sebenar" kepada Yang Maha Esa.
3) penguatkuasaan undang-undang yang mengatur realiti hidup manusia: iaitu yang biasa dinamakan "syariah" mengikut pengertian yang sempit dan tidak.merangkumi maksud yang sebenar menurut neraca Islam manusia hari ini.
4) asas-asas mengenai moral dan tatasusila, juga di dalam nilai-nilai yang mempengaruhi masyarakat, yang menjadi pegangan umat manusia dan menjadi ukuran bagi semua kejadian di dalam hidup bermasyarakat.
5) aspek ilmu pengetahuan dalam setiap sudut samada kegiatan fikiran dan juga kegiatan seni.

Mendefinisikan syariah kepada penguatkuasaan undang-undang hudud sahaja yang merupakan juzuk kecil daripada syariah adalah tidak adil dan tidak amanah kepada Islam itu sendiri. Inilah tafsiran sempit yang cuba ditanamkan musuh-musuh Islam kepada hakikat keindahan syariah Islam yang bersifat rahmat (hidayah). Islam datang untuk membetulkan kepercayaan tahyul dan mistik kepada ketundukan mutlak kepada Allah, memperbaiki tingkahlaku dan moral masyarakat, menegakkan hukum Allah di atas muka bumi dan menyebarkan cahaya-Nya ke seluruh dunia.

Menurut Ustaz Abdul Halim Abdullah, tokoh dakwah yang tidak asing di Negeri Sembilan:
"Syariat Islam sifatnya membangunkan manusia dan dunia, zahir dan batin, manakala hukum menghukum seperti hudud, takzir dan seumpamanya boleh kita nisbahkan sebagai hanya 5% sahaja daripada Syariat Islam yang sifat umumnya adalah membangun. Sebab itu Al-Quran yang mempunyai lebih 6000 ayat hanya mempunyai sekitar 500 ayat sahaja mengenai hukum hakam atau dipanggil “Ayat-ayat Ahkam”. Dari sekitar 500 ayat-ayat ahkam, hanya sebahagian kecil sahaja yang menyentuh hukum hudud dan selainnya menggarap isu-siu ekonomi, muamalat, munakahat, hubungan antarabangsa dan sebagainya".
Kesimpulan saya, tugas umat Islam adalah untuk melaksanakan hukum Allah s.w.t dalam segenap aspek kehidupan mereka. Adapun hudud, ia hanya sebahagian daripada syariah Islam yang lebih luas maknanya.

Dengan itu, saya menyeru kepada setiap pihak di Malaysia khususnya:
1) kerajaan yang memerintah supaya melaksanakan pembaharuan dalam pentadbiran negara dengan menyerap aspek Islam dalam soal pentadbiran, pengurusan ekonomi dan pengurusan masyarakat. Membanteras budaya rasuah, fitnah, pergaulan bebas, bahan lucah dan lain-lain. Menggubal undang-undang yang mencegah tersebar-luasnya kemungkaran dan memantapkan sistem pendidikan Islam bersepadu.
2) golongan agamawan supaya ke depan menjelaskan kefahaman Islam yang sebenar dalam masyarakat dan bersifat proaktif dalam menjawab kekeliruan yang timbul dalam masyarakat.
3) gerakan Islam yang bekerja di lapangan supaya melipat-gandakan usaha-usaha memahamkan masyarakat dengan kerja-kerja sosial, ilmiah dan lain-lain supaya Islam yang syumul sebagai satu cara hidup difahami dengan baik.

Allah sebaik-baik petunjuk dan penolong.

4/10/2011
Ustaz Izzuddin Selamat,
Jabatan Tafsir, Fakulti Usuluddin dan Dakwah,
Universiti al-Azhar, Mesir.
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Tuesday, April 27

Mereka Terhimpit...(Al-Fatihah)

~Almarhum Aminulrashid Amzah (26/4/2010)

Alhamdulillah, diberi kekuatan oleh Allah kembali menulis setelah hampir 4 bulan tidak menulis. Perasaan bersalah bermain di dalam hati kecil saya. Terkenang saya pada kata2 Umar al-Khattab r.a: “Aku tidak takut doaku ditolak tapi aku lebih takutkan aku tidak diberi hidayah untuk terus berdoa". Hari ini…Tarikh ini… Genap sebulan saya ditarik nikmat yang sangat penting dalam jalan dakwah ini…terutama di Mesir ini (nikmat berjalan & berlari). Namun, itu tidaklah sebesar ujian yang menimpa mereka ini.

Saya mulakan dengan peristiwa baru2 ini yang berlaku sangat hampir dengan kediaman keluarga saya di tanah air. Kes arwah Aminulrashid yang ditembak mati oleh polis di Seksyen 11, Shah Alam. Kenapa kejadian ini? Wallahu'alam, ketika mana saya menonton video liputan kes ini yang menemubual si ibu kepada arwah....Bergenang air mata saya...terutama setelah melihat wajah arwah adik ini.... (Mungkin faktor adik bongsu saya yg lebih kurang sebaya dgn arwah)

(Puan Norsiah Mohamad, ibu adik Aminulrashid. kanan)
Bersabarlah Sang Ibu, Milik Allah apa yang Dia ambil. Milik-Nya jua apa yang Dia beri. Tiap sesuatu ada tempoh tertentu disisi-Nya. Bersabarlah dan harapkan ganjaran Allah diatas kesabaran dan dugaan ke atasmu itu

Rentetan peristiwa yang berlaku di dalam negara pada hari ini sangat merisaukan diri saya. Perseteruan tanpa henti amat menjelikkan. Peningkatan masalah sosial memualkan saya. Semua ini meninggalkan masyarakat terhimpit dengan isu2 yang tiada henti. Lalu lahir usaha mencari jawapan atas apa yang berlaku. pelbagai formula dicipta tokoh2 pemikir, pelbagai idea dicadangkan ahli2 politik. Beraneka program dianjur dan digerakkan. Namun, saban hari kadar jenayah semakin membimbangkan.

Pemimpin adalah Tonggak Masyarakat (gambar hiasan)

Rasa cinta dan kasih kepada bangsa dan umat ini membuat hati saya sentiasa bergelojak menyeru pembaikan dalam masyarakat kita. Masyarakat kini dahagakan keadilan, keselamatan, ketenteraman dan penyelesaian pada keributan yang berlaku....

Tiada jawapan bagi persoalan ini melainkan masyarakat kita mesti kembali semula kepada Allah.Inilah yang ditegaskan Allah s.w.t dalam Surah al-Aa'raf:96 : "Dan jika penduduk suatu tempat itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami turunkan ke atas mereka keberkatan (keadilan, keselamatan, keamanan) dari langit dan bumi".


"Kita juga mahu supaya bangsa kita faham bahawa mereka lebih kita sayangi daripada diri kita sendiri. Demi kasih sayang ini kita sedia jadikan nyawa kita sebagai penebus demi mengembalikan kehormatan bangsa ini. Nyawa ini sedia dikorbankan demi menebus semula maruah, harga diri, agama dan impian mereka jika perlu. Pendirian ini lahir dari rasa hati yang sekian lama mencengkam hati ini. Rasa hati yang sekian lama menyelubungi perasaan ini. Rasa hati yang menyebabkan mata ini tidak lena tidur. Rasa hati yang menyebabkan air mata ini sentiasa bercucuran. Rasanya terlalu sukar untuk sekadar melihat nasib yang menimpa masyarakat kita kemudian kita hanya berpeluk tubuh menerima segala penghinaan ini, atau reda dengan segala kehinaan ini, atau sekadar mendiamkan diri. Demi Allah, kita akan bekerja di jalan Allah untuk kepentingan manusia lebih daripada untuk kepentingan diri kita sendiri."
(Hasan al-Banna, Risalah Dakwatuna)

Menjadi tanggungjawab kita untuk memandu perubahan ini dengan berusaha sedaya upaya membimbing masyarakat agar kembali mengenal Sang Pencipta. Memahamkan mereka tujuan kewujudan mereka di dunia ini. Menyedarkan komuniti kita akan peranan mereka dengan wasilah paling baik dan bijaksana. Meraikan kondisi dan memahami keperluan mereka. Apakah semua ini masih memberi kita ruang untuk bemain2 dan terus leka?

Al-Fatihah kita sedekahkan untuk anak-anak ini...
Arwah Aminulrashid Amzah (15 tahun, 2010)
Arwah Syafiah Humairah (3 tahun, 2010)
Arwah Nurin Jazlin (8 tahun, 2007)
dan lain-lain