Sunday, January 15

Surah Kahfi: Kisah Zulkarnain (Bahagian I)

Sudah lama saya berniat untuk menulis berkenaan al-Quran dan keindahannya. Al-Quran adalah mukjizat paling hebat pernah diberikan Allah kepada manusia. InsyaAllah jika diberikan kesempatan tenaga dan masa saya cuba kongsikan apa yang indah dan cantiknya uslub (cara) al-Quran menerangkan sesuatu perkara dan pelbagai rahsia yang sangat berharga untuk dikutip sebagai bekalan. Jadi ini adalah posting saya yang pertama dalam bab ini. Antara banyak2 surah di dalam al-Quran yang menjadi minat saya mengkajinya sejak dahulu adalah Surah Kahfi yang digalakkan kita membacanya pada setiap hari jumaat.
"Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat diterangi baginya dengan cahaya tempoh antara dua Jumaat" (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Surah yang dipenuhi kisah2 umat terdahulu yang sangat menarik untuk dijadikan pengajaran generasi hari ini. Generasi di mana al-Quran sudah jauh dari kehidupan mereka... Generasi yang melihat al-Quran seperti buku2 di perpustakaan... Generasi yang membiarkan al-Quran berhabuk di rak-rak buku.... Ya Allah, jadikan al-Quran syafaat bagi kami bukannya hujah (yang menentang) bagi kami di akhirat nanti....

Saya akan kongsikan beberapa point2 penting yang dikeluarkan ulama' Islam selepas ini supaya ketika kita membaca dan menghayati ayat2 al-Quran, ia akan meresapi jiwa dan sanubari kita lalu menolak kita untuk berjihad dan berjuang seperti Rasulullah s.a.w dan para sahabat.

Antara kisah menarik di dalam surah ini ia menceritakan suatu kaum yang dijumpai Zulkarnain di antara dua gunung. Firman Allah s.w.t:
"Hingga apabila dia (Zulkarnain) telah sampai di antara dua buah gunung, dia mendapati di hadapan kedua bukit itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti bercakap.
Mereka berkata: “Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka". (Surah al-Kahfi:93-94)
Antara persoalan yang bermain di fikiran saya ketika itu, bagaimana mereka mampu bercakap mengenai masalah mereka dan pertuturan mereka mampu difahami Zulkarnain padahal jelas al-Quran menyatakan kaum tersebut tidak mampu bercakap?

1. adakah mereka bercakap menggunakan bahasa isyarat?
2. adakah mereka bercakap menggunakan bahasa tersendiri dan Zulkarnain dikurniakan Allah kefahaman memahami bahasa mereka seperti Nabi Sulaiman a.s dapat memahami bahasa semut dalam Surah an-Naml?

Saya cuba mencari jawapan daripada kitab2 tafsir yang ada tetapi tidak menemui jawapan yang senang difahami sehinggalah baru2 ini ketika saya mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan salah seorang pensyarah di universiti saya, Dr. Muhammad Yusri Hani, salah seorang ulama' al-Azhar dan pimpinan Ikhwan di Mansurah saya temui jawapannya.
Dr. Yusri Hani, dikenali sebagai Buah Hati Rakyat Mansurah. Beliau sangat dicintai oleh penduduk Mesir di kawasan tempat tinggal saya. Tiada orang yang tidak pernah mendengar namanya kecuali kebaikan sahaja. Beliau pernah dipenjarakan di zaman Presiden Hosni Mubarak dan hidup dalam buangan di Arab Saudi ketika saya sampai di Mansurah pada 2008. Beliau hanya kembali selepas kejayaan Revolusi 25 Januari yang disifatkan rakyat Mesir sebagai percaturan Allah s.w.t untuk masa depan Islam yang gemilang. Dalam Pilihanraya Dewan Rakyat baru2 ini, beliau telah mendapat kemenangan mudah tanpa banyak saingan kerana lawan2 politik beliau tidak mahu bertanding kerana hormatkan peribadi dan ilmu beliau. Aku ingin sekali mencontohi dirimu. Dihormati kawan dan lawan.

Kata beliau:
"Mereka tidak mampu bercakap kerana mereka ditekan, dizalimi dan diseksa hingga hilang kemampuan untuk menuturkan kebenaran kerana hidup di dalam ketakutan" ketika mentafsirkan ayat:
"Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi
"Setelah mereka merasa tenang, selamat dan tenteram. Maka mereka akhirnya mampu menuturkan perkataan dan mengadu permasalahan mereka. Mereka merasa selamat dan aman dan yakin setelah melihat kedatangan bala tentera yang kuat dan dipimpin oleh seorang pemimpin adil, soleh, wara', tawadu' dan mujahid.
maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka"
ulas Dr. Yusri dalam khutbah beliau. Saya mendengar penuh khusyuk dan tersenyum sendirian. Ya Allah, alangkah indahnya hidup bersama al-Quran.

Khutbah beliau menceritakan Fikh Siasah (Politik) di dalam al-Quran yang diterangkan daripada kisah Zulkarnain. Beliau menyatakan 4 ciri untuk membina sebuah negara Islam yang diberkati dan menjalankan fungsi yang dituntut Allah s.w.t. (Ciri Pemimpin Negara, Ciri Perlembagaan Negara, Ciri Rakyat dan Ciri Negara yang diidamkan)

Saya akan sambung dalam post yang seterusnya...

2 comments: