"orang-orang yang sia-sia segala usaha dan jerih payah mereka di dunia padahal mereka menyangka mereka sudah menghasilkan yang terbaik" (Surah al-Kahfi ayat 104:)
Usaha menegakkan Islam tidak akan sunyi daripada pelbagai gangguan dan ancaman. Para pendakwah mestilah di permulaan dakwahnya, melonjak dengan 2 perkara:
1) Hati yang bulat mencari redha Allah s.w.t. Tiada matlamat lain. Firman Allah:
"Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah tuhan seluruh alam" (Surah al-An'aam:162)
2)Usaha yang kuat tanpa henti. Firman Allah s.w.t:
"Wahai Yahya, ambillah Kitab ini dengan kuat!" (Surah Maryam:12)
Kedua-dua perkara ini adalah asas untuk para pendakwah terus konsisten atas KEBENARAN. Musuh-musuh Allah daripada manusia dan syaitan akan sentiasa berusaha supaya 2 asas ini runtuh dan hilang daripada jiwa pendakwah agar mereka terpesong dan menghabiskan masa terulit dengan penyakit dalaman yang merugikan usaha-usaha dakwah.
Tulisan ini adalah sedikit pesanan buat kita para pendakwah muda. Zaman muda inilah yang membentuk peribadi dan cara fikir kita di masa tua nanti apabila beralihnya kita daerah umur itu. Berbahagialah mereka yang memanfaatkan usia muda dengan urusan-urusan besar dan Menyesallah! Menyesallah! Menyesallah mereka yang menghabiskan usianya pada perkara remeh-temeh.
Firman Allah s.w.t:
"Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami sekarang adalah orang-orang yang yakin” (Surah Sajadah:12)
NAFSU YANG MENYESATKAN
Manusia dikurniakan Allah nafsu di samping akal dan hati. Nafsu sentiasa cenderung untuk merasai kelazatan syahwat. Menurut ulama’, nafsu terbahagi kepada 2:
Nafsu Zahir: kelazatan pada makan, minum, hubungan seks
Nafsu Tersembunyi: kelazatan pada pujian manusia, perasaan lebih baik dari orang lain, rasa diri berbeza dan lebih mulia
Kelazatan pada perkara ini membuatkan ramai orang jarang mengambil berat tentangnya. Lalu tenggelamlah mereka ke dalamnya tanpa memikirkan batas dosa dan pahala hingga tibalah balasan Allah: :
"Bukanlah Allah yang menzalimi mereka tetapi mereka menzalimi diri mereka sendiri” (Surah An-Nahl:33)
Nafsu adalah ujian Allah kepada hamba-hambanya. Tanpanya, seorang hamba tidak akan merasa kesusahan dalam melakukan ketaatan dan ikhlas kepada Allah s.w.t.
Nafsu Zahir dikawal oleh syariat dengan halal dan haram, harus dan makruh dan seterusnya…orang yang memiliki iman yang benar akan mudah melaksanakannya.
Adapun Nafsu Tersembunyi, ia lebih sukar kerana tidak dapat dilihat mata kasar. Bahkan ia lebih lazat dan disukai manusia.
Nafsu tersembunyi
Di antara ciri itu adalah merasa diri lebih daripada orang lain lalu memperelokkan kerja-kerjanya di depan orang lain. Para pendakwah mesti berhati-hati dalam perkara ini. Siapa tidak seronok mendengar pujian orang dan kredit yang diberikan pada usaha-usaha dakwahnya.
Namun begitu, bukanlah seseorang itu hanya memperlihatkan kerja-kerjanya supaya orang ramai bercakap tentang kebaikan usahanya sahaja tapi lebih merbahaya, seseorang merasa bangga dengan usaha dan kerja tulang empat keratnya! Sehingga merasakan jatuh bangun dakwah bergantung sepenuhnya pada kerja2 yang dilakukan oleh dirinya sendiri.
Bahaya Kagum dengan diri sendiri
Perasaan-perasaan sebegini adalah tanda penyakit hati. Ia akan menghapuskan amal soleh dan berhak mendapat murka Allah s.w.t. Sabda Nabi s.a.w:
"Orang yang menyesal menunggu rahmat Allah, orang yang bangga diri menunggu kemurkaan Allah” (Riwayat Baihaqi)
Saidatina Aisyah r.a ketika ditanya: Bilakah seseorang itu dianggap berbahaya? Beliau menjawab:
Apabila dia merasa dia lebih baik
Abdullah bin Mubarak juga ditanya apakah tanda bangga diri:
Engkau melihat pada diri engkau sesuatu tapi tiada pada orang lain.
Syeikh Agha Shamsuddin Mengajar Kita
Syeikh Agha Shamsuddin adalah rahsia di dalam kejayaan Muhammad al-Fatih membebaskan Kota Konstantinople dari tangan tirani, Empayar Byzantium. Beliau telah melakukan pendidikan yang rapi dari aspek akhlak, kerohanian, ilmu perang, ilmu mentadbir negara dan menguasai 6 bahasa utama dunia sehingga Muhammad al-Fatih berjaya melaksanakan misi Nabi s.a.w ketika umurnya 21 tahun:
"Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera" (Riwayat Ahmad)
Di dalam Kitab al-Badr at-Toli ’ tulisan Imam Syaukani, dicatatkan satu peristiwa Maha Hebat sebaik sahaja Kaum Muslimin Berjaya membuka kota Konstantinople daripada Empayar Byzantium:
Keesokkan harinya (sehari selepas pembukaan Konstantinople), Sultan Muhammad al-Fatih datang ke khemah Syeikh Agha Shamsuddin. Ketika itu, syeikh sedang berbaring dan tidak berdiri langsung menyambut kedatangan Sultan (Sultan Muhammad telah berjaya menundukkan Empayar Byzantium, merealisasikan sabda Nabi s.a.w yang menjadi cita2 umat Islam sejak zaman Muawiyah lagi dan menggerunkan Eropah dengan kuasa Islam).Sultan pun mencium tangan syeikh dan berkata: Beta datang kerana ada satu permintaan. Beta ingin bersendirian denganmu (berbincang dan meluahkan rasa gembira). Syeikh menolak. Namun Sultan mendesak berkali2 , dan setiap kali jugalah Syeikh menjawab: Tidak!Sultan pun murka lalu berkata:Dulu ada seorang Turki biasa mahu berbincang bersendirian denganmu dan engkau benarkan hanya dengan satu permintaan. Tetapi ketika beta memintanya, engkau menolak pula!Syeikh Shamsuddin menjawab:Jika engkau bersendirian, engkau akan rasa keseronokan hingga leka daripada urusan pemerintahan. Itu akan menggugat urusan pemerintahan adan Allah akan memurkai kita kerana itu. Tujuan kita bersendirian ini ialah melaksanakan keadilan. Engkau sepatutnya lakukan itu dan ini.Syeikh pun memberikan Sultan beberapa nasihat. Selepas itu, Sultan menghantar seribu dinar emas tetapi syeikh tidak mahu menerimanya. Ketika keluar dari khemah, Sultan Muhammad berkata kepada pengikutnya: Syeikh tidak berdiri pun menyambut sayaSeorang pengikutnya berkata:Mungkin beliau melihat ada perasaan bangga pada diri Tuanku kerana kemenangan ini. Ia satu perkara yang sukar dielak oleh sultan-sultan yang hebat. Mungkin syeikh mahu membunag sedikit perasaan bangga ini daripada tuanku.
Segala perasaan mulia, bangga dan izzah di dunia ini hanya milik Allah sepertimana diungkapkan oleh as-Syahid Syed Qutb:
"Rasa agung dan mulia berdasarkan kebenaran hakiki kebenaran yang sebati dengan tabiat alam. Kebenaran yang tetap hidup walaupun dicabar deh kekuatan, oleh konsep dan realiti. Kebenaran atau "hak" yang bersambung dengan Allah Yang Maha Hidup dan tidak mengenal mati" (Maalim fit Toriq)
Beliau juga memberi sedikit komentar tentang hakikat rasa mulia dan bangga:
Sesungguhnya orang yang beriman itulah orang yang paling tinggi darjatnya, paling tinggi darjat tempat pergantungannya. Apakah nilai dunia seluruhnya, manusia sekaliannya, nilai yang besar pengaruhnya, dan pandangan-pandangan hidup manusia sedangkan dia menerima tugasnya daripada Allah dan akan melaporkan sendiri hasilnya di hadapan Allah dan dia menghayati program Allah? (Petikan Bab Keagungan Iman)
No comments:
Post a Comment