Friday, December 2

Mesti Baca! Karya 6 Tokoh Penggegar Dunia

Buku-buku karya ulama' Islam kini banyak tersusun rapi di rak-rak buku. Habis berhabuk menanti masa untuk silap hari bulan akan masuk ke dalam kotak. Bahkan lebih menghairankan novel-novel cinta dan majalah yang memenuhi rak-rak buku di rumah. Itulah realiti Generasi Y hari ini yang lebih prefer menjadikan Google, Youtube dan Facebook sebagai asas membina cara fikir Islam mereka. Kekhuatiran ini menjadikan saya merasa risau dan takut tentang stand2 yang mereka gunakan di dalam menghadapi pertarungan sengit arus globalisasi hari ini. Namun ini tidak menjadikan saya menafikan peranan media tersebut di dalam usaha menyebarkan kefahaman Islam yang sebenar. Cuma takutkan mereka hanya "menang sorak tapi kampung tergadai". Cabaran adalah menjadikan bahan bacaan ini relevan dan terus dipelajari oleh anak-anak muda yang baru bertatih atas Jalan yang sangat panjang ini.

Alhamdulillah. Keputusan awal pilihanraya Mesir telah keluar dan menunjukkan kebanyakkan kerusi-kerusi parlimen dimenangi gerakan-gerakan Islam yg pelbagai latar belakang dari Ikhwan, Salafi dan lain-lain. Tahniah, kemenangan ini tidak harus membuatkan para pendakwah berasa selesa dan mula mengimpikan mimpi2 indah dalam tidur-tidur mereka. Perjalanan kita masih jauh sebenarnya…Perjalanan kita baru bermula hakikatnya….

Eng. Khayrat Syatir, Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimin membuang undi beliau dalam Pusingan Pertama Pilihanraya Mesir baru-baru ini. Sebelum ini beliau telah dipenjarakan oleh Rejim Mubarak atas tuduhan yang tidak masuk akal.

Ramai orang melihat kejayaan Ikhwan dalam pilihanraya di Tunisia dan pusingan awal di Mesir pada apa yang mereka raih sekarang. Mereka pun seronok dan menjerit kegembiraan. Satu permandangan yang sukar dilihat puluhan tahun dahulu. "Kemenangan Islam sudah hampir!" teriak mereka. Namun, realitinya ramai yang tidak tahu. Hakikatnya, kerja-kerja mereka bermula puluhan tahun lalu. Mereka mendidik masyarakat dengan pelbagai aktiviti kebajikan, membina pusat-pusat penjagaan anak yatim dan janda, membina hospital percuma bagi orang yang tidak mampu, membina sekolah-sekolah yang menerapkan nilai-nilai Islam, memberi khidmat guaman kepada yang dizalimi,mewujudkan media-media Islam yang mengeluarkan buku2, lagu-lagu, pelekat dan lain-lain lagi . Semua ini dilakukan sepanjang mereka dibantai oleh pemerintahan diktator hinggalah ke zaman Presiden Husni Mubarak. Semua ini dilakukan dalam keadaan mereka tidak sampai ke pemerintahan negara pun lagi!!

Rakyat Mesir sangat gembira dengan “KEBEBASAN” yang mereka peroleh daripada revolusi ini. Lebih 30 tahun mereka hidup dalam kemiskinan tahap dahsyat. Saya sendiri terharu dan kasihan melihat seorang ibu mungkin umurnya 70+ duduk di tengah kepanasan mengharapkan sesuap makanan. Ribuan rakyat mereka menjadikan tanah perkuburan sebagai tempat tinggal kerana tidak mampu. Sedangkan pimpinan negara Mesir bermewah-mewah dengan kekayaan negara daripada Terusan Suez yang mengutip ratusan juta dolar setiap hari.

Mereka jelas bahawa perubahan yang ingin dicapai bukan sekadar merebut kerusi Presiden atau menumbangkan sebuah kerajaan yang korup semata-mata. Perubahan bagi mereka bukan kemenangan di Parlimen dan menjadi Presiden sesebuah negara sahaja. Perubahan mereka adalah perubahan akar-umbi. Dalam erti kata, menggantikan pemerintahan tersebut dengan pemimpin yang memiliki sifat:
1. Amin: pemimpin yang soleh dan bertakwa. Pemimpin yang memahami bahawa dirinya akan dihisab dengan berat oleh Allah s.w.t. Lantas dia mentadbir negara seiring dengan kehendak Allah.
2.Qawi: Pemimpin benar-benar pakar dan ahli dalam bidang yang diperlukan negara. Bukan pemimpin celup-celup yang tidak berpengalaman. Mereka terdiri daripada Pakar nuklear, Pakar Kimia, Pakar Fizik, Pakar kajibumi dan lain-lain bidang dalam negara.
Abul ‘Ala al-Maududi mengungkapkan:
Matlamat asasi perjuangan ialah melakukan Reformasi Kepimpinan ataupun dalam erti kata Iain membersihkan bumi ini daripada kepimpinan yang tidak baik, penuh kezaliman dan penindasan lalu digantikan dengan kepimpinan yang baik dan soleh (Asas Akhlak bagi Gerakan Islam)
Hal ini dijelaskan Ustaz Fathi Yakan di dalam tulisan beliau:
Tujuan 'manhaj' (method) Islam ialah untuk mengembalikan 'ubudiyah' manusia kepada Allah dalam segala urusan hidup mereka. Dalam bidang akhlak dan urusan hidup, dalam bidang undang-undang dan pemikiran mereka. Ini bererti meruntuhkan asas-asas dan pusat-pusat yang menjadi tempat tegak dan berdirinya masyarakat jahiliah dan tamaddun materialisme. Di tempatnya pula ditanam asas-asas supaya tertegaknya sistem Islam.(Generasi Muda dan Perubahan)
Ikhwan Muslimin bukan semata-mata mahukan tokoh mereka menang dalam pilihanraya sahaja. Tetapi mereka mahukan dukungan daripada masyarakat. Rahsia kejayaan mereka terletak pada pentarbiyah rapi dan dakwah yang berterusan dalam masyarakat. Mereka tidak muncul ketika pilihanraya kemudian lesap selepas itu. Fikrah mereka adalah Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Islam yang syumul.Islam adalah rahmat buat dunia. Islam yang disalah-faham oleh dunia hari ini termasuk umat Islam sendiri. Mereka hidup dan mati atas Fikrah ini. Segala-galanya dikorbankan bagi memastikan fikrah ini terus hidup biarpun nyawa dan anak isteri menjadi taruhan. Perkara ini diungkapkan al-Maududi:
Inilah juga yang telah disempurnakan oleh baginda SAW selaku Rasul terakhir. Cuma apa yang menarik ialah bagaimana baginda menggunakan pendekatan tadaruj (berperingkat) iaitu dimulai dengan memantapkan iman dalam skopnya yang luas sehingga mampu membawa orang yang telah beriman itu tadi ke arah memenuhi segala tuntutan imannya. Dari situlah lahirlah ketaatan secara amali ataupun Islam. Bermula dengan kesucian akhlak kemudian seterusnya kecintaan serta wala' yang mutlak kepada Allah ataupun ihsan. Peribadi-peribadi tersebut kemudiannya digembeleng secara tersusun oleh baginda SAW untuk menghapuskan sistem Jahiliyah seterusnya menegakkan sistem kehidupan yang bersumberkan dari manhaj Ilahi.
(Bab Contoh Salah Faham dan Cara Menanganinya)
InsyaAllah saya akan bawakan selepas ini kenapa kita semua mesti membaca buku-buku dan tulisan mereka. Pengajaran untuk kita yang baru bertatih di atas jalan dakwah ini. 6 TOKOH ini berjaya menjelaskan kepada kita bagaimana cara praktikal untuk menegakkan kembali Islam di zaman moden ini. Tidak menafikan sumbangan dan tulisan tokoh-tokoh lain, tetapi bagi mereka yang ingin mendalami dan menguasai Fikrah ini, tulisan 6 Tokoh ini adalah intipatinya.

Imam Hasan al-Banna (Pemuda al-Quran yang Ajaib di Zaman Moden)

Gambar Hasan al-Banna sewaktu menerima kunjungan pemimpin gerakan Islam Indonesia selepas Perang Dunia Kedua.

Syed Qutb (Sasterawan yang dizalimi musuh Islam dan gerakan Islam sendiri)

Gambar yang mengandungi seribu makna. Usaha Barat supaya umat Islam takut dan memandang rendah usaha Syed Qutb berjaya

Abu ‘Ala Maududi (Wartawan Mujahid yang menggegar Benua India)

Lawatan beliau ke Amerika Syarikat pada tahun 60an.

Fathi Yakan (Sang Guru yang Kreatif dan Simple)


Muhammad Ahmad Ar-rasyid (Penghidup sastera salaf Haraki)


Mustafa Masyhur (Jurubicara Fikrah Hasan al-Banna)


Benarlah kata2 Saidina Ali:
اذا مات العالم ثلمت في الاسلام ثلمة, لا يسدها الا خلف منه
“Apabila mati seorang ulama’, akan lompong di dalam Islam satu lompong, (ia akan kekal lompong) sehinggalah dipenuhi orang selepasnya”
Saya tahu mereka adalah orang Arab. Dan kita pula rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Terima kasih pada mereka kerana telah menjelaskan asas-asas untuk kita jadikan pedoman dalam menyesuaikan praktik amali dalam kerangka Islam di bumi Malaysia. Kerana itulah Bahasa Arab dianggap sebagai bahasa dakwah dan bahasa penghubung umat Islam seluruh dunia kerana kita sendiri membaca al-Quran setiap hari dalam bahasa Arab! Mereka telah pergi meninggalkan legasi yang tidak ternilai harganya. Namun, kematian mereka menyedarkan kita bahawa telah hilang panduan yang hidup untuk kita lihat dan contohi. Maka kitalah yang akan mengisi kekosongan itu dan menggantikan tempat mereka.

Moga Allah memberikan saya kekuatan untuk menulis kenapa karya 6 Tokoh ini wajib dibaca dan dipelajari oleh semua anak muda yang mahu memastikan langkah mereka tetap konsisten atas Fikrah ini.

1 comment:

  1. Ahlan. tertunggu2 posting seterusnya. teringat abg prnh bercerita tntg abdullah azzam dlm hlqh dulu.

    ReplyDelete