Friday, October 21

HIMPUN: Harapan itu masih ada..Yakinlah!

Saya terdetik untuk menulis di pagi hari ini. 22/10/2011. Tarikh bersejarah umat Islam di Malaysia buat pertama kali menolak ke tepi segala perbezaan ideologi, warna kulit dan logo masing-masing berhimpun atas satu perkara yang sama yang Allah s.w.t menjadikan kita semua sebagai satu keluarga yang besar…ikatan akidah. Saya doakan perhimpunan ini berjaya mencapai objektif dan diredhai Allah s.w.t. Apa2 pun berjaya atau tidak sasaran bilangan, yang penting kita sudah berusaha dan menyampaikan mesej kita.

Benarlah tulisan as-Syahid Syed Qutb di dalam buku beliau, Ma’alim Fi Toriq:
"Negara bagi setiap Muslim itu bukanlah sekadar tanah dan air tetapi "Islam", negara mana di dalamnya berdaulat akidah Islam dan berkuasa di dalamnya syariat Allah sahaja, negara di mana setiap orang Muslim menumpahkan taat setianya dan sanggup mempertahankannya, rela mati bermandi darah dan gugur syahid untuk mempertahankan negara itu dari segala ancaman dan pencerobohan dan untuk melebarkan lagi sayapnya mendaulatkan syariat Allah di seluruh pelosok dunia. Itulah Negara Islam bagi setiap orang yang menghayati Islam sebagai akidah dan syariat, juga bagi setiap orang yang rela dan patuh menerima syariat Islam menjadi undang-undang negara”.
(Petikan bab Kerakyatan seorang Muslim adalah Akidahnya)
Walaupun saya jauh dari tanah air, saya mengikuti rapat usaha2 HIMPUN ini yang pada awal projek ini, fanpage hanya 100 orang sahaja yang ‘like’ hinggalah ke saat ini sokongan mencecah lebih 1000 NGO yang akan turut serta. Saya tidak ingin menyentuh tentang berapa ramai yang hadir pada hari HIMPUN ini, adakah berjaya sejuta orang atau tidak. Tetapi sudut berbeza yang saya nampak peluang, ruang dan potensi lebih besar untuk digembleng ke arahnya… Membangun Ummah Beragenda.

Rasa gembira bercampur baur dengan rasa terharu melihat promosi dan kenyataan demi kenyataan oleh pimpinan politik, badan bukan kerajaan, gerakan mahasiswa dan keluarga terdekat yang satu nada menjulang isu yang sama “Selamatkan Akidah!”. Hatta nasyid tema oleh Munsyid Malaysia sangat menyetuh hati saya. Buat seketika media massa sunyi sebentar daripada cerita2 sensasi, fitnah-memfitnah dan memburuk-burukkan satu sama lain. Tahniah kepada anda semua!

Kalau tak silap saya, kali terakhir lagu yang digubah untuk isu umat Islam oleh gabungan PENASYID adalah lagu "Keamanan" dan "A Street in Kosovo" pada 1999. Bahkan Almarhum Ust. Fadzil Noor pernah duduk sepentas dengan Tun Dr. Mahathir atas isu Palestin pada Syarahan Perdana Isu Palestin anjuran ABIM dan DBP pada 8 Mei 2002.

Saya petik tulisan Sheikh Ahmad al-Rasyid dalam buku beliau, al-Masar:
Sesungguhnya kebaikan masih banyak dalam masyarakat kita. Keperluan gerak kerja kita pada hari ini adalah ke arah:
1. Cita-cita besar yang menyedarkan orang2 yang tidur dan membangunkan orang2 yang duduk
2. Kesedaran yang membuka mata orang yang mengikut membabi buta
3. Keberanian yang merangsang orang2 yang takut
4. Rasa rendah diri yang mengembalikan orang2 yang terkeluar kembali bersatu
Beliau turut menyatakan kerugian yang mungkin dialami pendakwah:
“Sesungguhnya pada generasi hari ini, kita lihat pada mereka masih banyak lagi unsur-unsur kebaikan. Jika kita berlengah-lengah dan banyak membuang masa maka penglibatan mereka dalam projek-projek kita akan sedikit dan kita akan melahirkan generasi yang jauh dari Islam”.

Pemuda adalah tempoh paling penting dalam kehidupan seorang manusia. (Rujuk tulisan saya dahulu). Budaya berkahwin awal sudah sinonim di kalangan mahasiswa/mahasiswi di Mesir. Saya juga tidak terlepas terkena bahangnya. Hinggakan kawan2 di tanah air bergurau, “Aku tengok kalau nak kahwin awal, kena pergi belajar di Mesir. Tapi aku peliklah. Kau ni ketara sangat lawan arus. Umur kau tu bukan umur budak habis SPM. Dah boleh sambut Jubli Perak tau!”. Saya hanya tersenyum mendengar usikan beliau.

Post pertama saya tentang perkahwinan, Sayang, Ikatan Kita Ikatan Wafa’ telah mencatat kenaikan mendadak terhadap pengunjung blog saya. 7 kali ganda daripada angka pelawat yang biasa. Hingga ke saat ini post ini sahaja yang konsisten bertambah pembacanya dari masa ke semasa berbanding posting2 saya yang lain. Kenapa ya?

Terkenang pada tahun 2009 dahulu, ketika saya diziarahi guru saya di rumah. Saya bertanya padanya: Kawan2 saya di kuliah sedang sibuk membahaskan perkahwinan di alam belajar. Masing2 memberi respon dari segi kesan positif dan negatif. Apa pendapat guru?

Guruku terdiam sebentar seolah2 sedang menyusun ayat. Kemudian dengan wajah tersenyum, beliau menjawab:
“Hai anakku, setiap manusia akan sibuk dengan apa yang mereka jadikan agenda. Jika itu agenda yang ingin mereka capai, segala tumpuan dan tenaga akan ke situ. Alangkah indahnya, jika agenda mereka itu menegakkan kalimah Allah, pasti segala kesibukan hatta perkahwinan sekalipun neracanya adalah mendaulatkan kalimah Allah”.
Terima kasih sang Guru atas nasihatmu. Akan ku pegang sepanjang hayat. Gerakkan dan pupukan kesedaran masyarakat kita akan agenda sebenar hidup mereka. Ayuh teman, kita Membangun Umat Beragenda!

1 comment:

  1. “Hai anakku, setiap manusia akan sibuk dengan apa yang mereka jadikan agenda. Jika itu agenda yang ingin mereka capai, segala tumpuan dan tenaga akan ke situ. Alangkah indahnya, jika agenda mereka itu menegakkan kalimah Allah, pasti segala kesibukan hatta perkahwinan sekalipun neracanya adalah mendaulatkan kalimah Allah”.

    ~Muslim yang fokus, beragenda dan terus hidup dalam kehidupan yang dinamik.
    Terima kasih kerana berkongsi pesan guru saudara. Saya sangat terkesan di situ.

    Teruskan menulis.
    Wassalam.

    ReplyDelete