Monday, October 3

Syariah Islam yang Saya Fahami

Isu hudud kembali bergema. Sejak saya kecil lagi, selalunya ia dibangkitkan ketika hampir dengan musim pilihanraya. Entah kenapa hukum Allah ini boleh menjadi laba politik parti-parti politik tertentu, saya pun tak pasti. Cuma saya merasa terpanggil untuk menerangkan secara ringkas dan padat supaya golongan bukan ahli agama (keluarga saya dan masyarakat am) dapat memahami isu sebenar dan berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Alhamdulillah. Rakyat Malaysia sekarang mula bercakap tentang penegakkan syariah di Malaysia. Perbincangan secara ilmiah jauh daripada blok kepartian sempit dan kepentingan peribadi akan membuahkan kefahaman yang sebenar terhadap permasalahan penegakkan syariah di Malaysia. Setiap orang hanya perlu mengemukakan dalil masing2 dan tidak sekali2 bercakap tanpa dasar ilmu sebagai prinsip dan disiplin dalam tuntutan ilmu.

Saya secara umum gembira dengan kenyataan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz untuk Kelantan menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993. Walaupun berdepan dengan polemik politik dan undang-undang tersebut tidak mungkin dilaksanakan kecuali dengan pindaan pada Perlembagaan Negara, ketegasan beliau sangat dihormati. Itulah tuntutan dan tanggungjawab tuan guru sebagai seorang muslim yang faham akan tuntutan kalimah syahadah yang diungkapkannya sebelum berjumpa dengan Allah s.w.t. Beliau menjadi idola saya sebelum Reformasi 1998 lagi.

Namun begitu, bagi saya penegakkan syariah di Malaysia ataupun di dunia suatu hari nanti bukan sekadar perlaksanaan undang-undang hudud. Tetapi syariah membawa maksud yang lebih besar daripada itu. Dalam banyak2 tasiran ulama' tentang pengertian syariah, saya lebih suka mengambil definisi mudah dan ringkas yang diungkapkan Almarhum As-Syahid Syed Qutb r.a, seorang ilmuan Islam Mesir:
"Syariat Allah itu bermaksud segala sesuatu yang telah diatur oleh Allah untuk mengurus hidup umat manusia. Ini merangkumi dasar kepercayaan dan pegangan manusia, dasar sebuah pemerintahan, dasar mengenai moral dan tatasusila dan juga dasar mengenai ilmu pengetahuan merangkumi pemikiran dan kesenian. ia merangkumi soal hakikat ketuhanan, hakikat alam seluruhnya (baik yang ghaib mahupun yang nyata), hakikat kehidupan (baik yang ghaib mahupun yang nyata), dan juga hakikat manusia itu sendiri serta hakikat pertalian segalanya itu dengan manusia" (Petunjuk Sepanjang Jalan).
Oleh itu, syariah merangkumi:
1) kepercayaan dan pegangan manusia kepada Allah s.w.t
2) apa jua bentuk politik, sosial dan ekonomi dan dasar-dasar bagi semuanya itu; supaya terlaksanalah "pengabdian yang sebenar" kepada Yang Maha Esa.
3) penguatkuasaan undang-undang yang mengatur realiti hidup manusia: iaitu yang biasa dinamakan "syariah" mengikut pengertian yang sempit dan tidak.merangkumi maksud yang sebenar menurut neraca Islam manusia hari ini.
4) asas-asas mengenai moral dan tatasusila, juga di dalam nilai-nilai yang mempengaruhi masyarakat, yang menjadi pegangan umat manusia dan menjadi ukuran bagi semua kejadian di dalam hidup bermasyarakat.
5) aspek ilmu pengetahuan dalam setiap sudut samada kegiatan fikiran dan juga kegiatan seni.

Mendefinisikan syariah kepada penguatkuasaan undang-undang hudud sahaja yang merupakan juzuk kecil daripada syariah adalah tidak adil dan tidak amanah kepada Islam itu sendiri. Inilah tafsiran sempit yang cuba ditanamkan musuh-musuh Islam kepada hakikat keindahan syariah Islam yang bersifat rahmat (hidayah). Islam datang untuk membetulkan kepercayaan tahyul dan mistik kepada ketundukan mutlak kepada Allah, memperbaiki tingkahlaku dan moral masyarakat, menegakkan hukum Allah di atas muka bumi dan menyebarkan cahaya-Nya ke seluruh dunia.

Menurut Ustaz Abdul Halim Abdullah, tokoh dakwah yang tidak asing di Negeri Sembilan:
"Syariat Islam sifatnya membangunkan manusia dan dunia, zahir dan batin, manakala hukum menghukum seperti hudud, takzir dan seumpamanya boleh kita nisbahkan sebagai hanya 5% sahaja daripada Syariat Islam yang sifat umumnya adalah membangun. Sebab itu Al-Quran yang mempunyai lebih 6000 ayat hanya mempunyai sekitar 500 ayat sahaja mengenai hukum hakam atau dipanggil “Ayat-ayat Ahkam”. Dari sekitar 500 ayat-ayat ahkam, hanya sebahagian kecil sahaja yang menyentuh hukum hudud dan selainnya menggarap isu-siu ekonomi, muamalat, munakahat, hubungan antarabangsa dan sebagainya".
Kesimpulan saya, tugas umat Islam adalah untuk melaksanakan hukum Allah s.w.t dalam segenap aspek kehidupan mereka. Adapun hudud, ia hanya sebahagian daripada syariah Islam yang lebih luas maknanya.

Dengan itu, saya menyeru kepada setiap pihak di Malaysia khususnya:
1) kerajaan yang memerintah supaya melaksanakan pembaharuan dalam pentadbiran negara dengan menyerap aspek Islam dalam soal pentadbiran, pengurusan ekonomi dan pengurusan masyarakat. Membanteras budaya rasuah, fitnah, pergaulan bebas, bahan lucah dan lain-lain. Menggubal undang-undang yang mencegah tersebar-luasnya kemungkaran dan memantapkan sistem pendidikan Islam bersepadu.
2) golongan agamawan supaya ke depan menjelaskan kefahaman Islam yang sebenar dalam masyarakat dan bersifat proaktif dalam menjawab kekeliruan yang timbul dalam masyarakat.
3) gerakan Islam yang bekerja di lapangan supaya melipat-gandakan usaha-usaha memahamkan masyarakat dengan kerja-kerja sosial, ilmiah dan lain-lain supaya Islam yang syumul sebagai satu cara hidup difahami dengan baik.

Allah sebaik-baik petunjuk dan penolong.

4/10/2011
Ustaz Izzuddin Selamat,
Jabatan Tafsir, Fakulti Usuluddin dan Dakwah,
Universiti al-Azhar, Mesir.
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

2 comments:

  1. salam, blog dan hujjah yg baik, tapi kan ust izzuddin, ana rasa tak semua org mempolitikkan isu hudud nie..

    ReplyDelete
  2. Betul, tak semua mempolitikkan undang2 hudud. Bagi yang ikhlas memperjuangkan hukum Allah ini, insyaAllah diganjari. Namun membangkitkan isu penguatkuasaan hudud dalam keadaan masyarakat yang masih tidak meBetul, tak semua mempolitikkan undang2 hudud. Bagi yang ikhlas memperjuangkan hukum Allah ini, insyaAllah diganjari. Namun membangkitkan isu penguatkuasaan hudud dalam keadaan masyarakat yang masih tidak memahami Islam dgn baik & pintu maksiat masih tbuka luas, bagi saya ia strategi yang belum tiba masanya. Wallahualam

    ReplyDelete